Malaysia Dateline

Libatkan pembangkang dalam proses pembaharuan KPP, kata Mohamad Sabu

Bekas Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan Pakatan Harapan menyeru agar kerajaan hari ini melibatkan pihak pembangkang dalam proses pembaharuan kertas putih pertahanan seperti usaha dwipartisan yang dilakukan mereka dahulu.

Menerusi kenyataan Mohamad Sabu bersama Liew Chin Tong, mereka menekankan bahawa tiga pelan pelaksanaan yang akan dirangka kelak perlu dibahaskan secara terbuka demi memastikan keupayaan pertahanan dan industri relevan dapat dibangunkan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Antara pelan berkenaan ialah Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN), Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) yang perlu dibentangkan kepada Parlimen menjelang tahun 2021 hingga 2022.

“Dalam ucapan ulung Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi, satu strategi ketenteraan negara yang baru akan dirangka, dan pelan-pelang pembangunan keupayaan lain akan disemak semula agar menepati keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang sebenar.

“Pihak kerajaan sewajarnya memastikan segala tenaga digembleng untuk menyokong usaha ini dengan sepenuhnya agar proses pemodenan ATM dapat dijalankan dengan lancar.

“Setiap tahun pelaksanaan KPP ditunda merupakan setahun lagi yang dibazirkan. Kementerian Pertahanan tidak boleh lagi mengulangi kesilapan-kesilapan perolehan yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan sempena setahun pembentangan kertas putih pertahanan.

Justeru, dua Ahli Parlimen PH itu berharap agar kerajaan memandang serius kepada komitmen untuk menjayakan KPP dan jika tidak, ATM akan ketinggalan selain kepentingan keselamatan rakyat akan terjejas.

Sudah segenap setahun sejak KPP telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada 2 Disember 2019.

KPP merupakan satu dokumen terbuka yang menyatakan dengan jelas kepentingan Malaysia, serta keupayaan pertahanan yang diperlukan untuk menjamin kepentingan-kepentingan tersebut.

Dokumen ini diperlukan untuk memastikan perolehan peralatan ketenteraan dapat menepati keperluan keupayaan tentera dalam mempertahankan kepentingan negara dan aspirasi rakyat.