Malaysia Dateline

Libatkan semua pihak dalam JK Imunisasi, cadang PH

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diseru untuk melibatkan wakil Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) untuk turut menyertai jawatankuasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang akan dibentuk kelak.

Jawatankuasa Imunisasi Pakatan Harapan berkata, penglibatan wakil pembangkang adalah penting untuk menunjukkan bahawa program imunisasi ini adalah satu usaha yang bersifat “bipartisan”dan demi kepentingan negara.

Menurutnya, kerajaan negeri di bawah PH, Ahli-ahli Parlimen dan Adun PH akan terus menyokong dan memberi kerjasama kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menjayakan program berkenaan kerana ia melangkaui perbezaan politik.

“Kerajaan mahupun pembangkang harus menjadikan ini misi nasional terpenting, dan pantang gagal. Penerangan yang efektif menjadi penentu kejayaan program Imunisasi ini.

“Maka, kami juga menyeru kerajaan supaya menyediakan rancangan komunikasi yang komprehensif untuk menerangkan rancangan imunisasi kepada warganegara dan bukan warganegara.

“Komunikasi multi-modal, pelbagai medium, pelbagai bahasa yang agresif perlu dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara bekas Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor); bekas timbalan menterinya, Dr Lee Boon Chye (Gopeng); Dr Kelvin Yii (Bandar Kuching); dan Dr Hatta Ramli (Lumut)

Turut serta, Sim Tze Tzin (Bayan Baru); Dr Ong Kian Ming (Bangi); Dr Siti Maria (Exco Kesihatan Selangor); Dr Norlela (Exco Kesihatan Pulau Pinang); Veerapan (Exco Kesihatan Negeri Sembilan)

Sementara itu, PH berkata program imunisasi yang dijangka akan diberikan kepada 80 peratus rakyat dewasa Malaysia atau 66.7 juta dos, bukan perkara yang mudah.

Oleh sebab itu, mereka menyeru agar kerajaan menyediakan pusat Imunisasi yang secukupnya kepada semua warganegara dan bukan warganegara terutama di kawasan pedalaman Semenanjung, Sabah (termasuk kawasan kepulauan), dan Sarawak.