Lidah tidak bertulang pemusnah minda politik intelektualiti

Lidah tidak bertulang, apa saja boleh tuturkan asalkan saja boleh dijadi alasan untuk membolehkan objektif tindakan politik dapat dipenuhi. Perkiraan asas sama ada menepati prinsip pegangan politik, bukan merupakan satu perhitungan dalam mempertahankan wibawa politik, bukan juga persoalan yang dikaitkan dengan maruah politik.

Sebaliknya pertimbangan adalah berkait rapat dengan keperluan untuk mencipta peluang bagi memenuhi kehendak berdasarkan kepentingan dan keuntungan kuasa politik kelompok, soal korupsi politik bukan merupakan sesuatu perlu diperhitungkan, bahkan perlu diremehkan.

Ciptakan alasan dan rasional untuk membenarkan prinsip baru yang dizahirkan adalah sahih, tepat dan benar, sekali gus menjadi sebab untuk membatalkan prinsip dan pegangan lama yang perlu dibuang, namun hakikatnya mempunyai potensi untuk di kitar semula.

Apa yang jelas, maksud setiap yang dizahirkan itu, dapat menarik sokongan dan penerimaan para pengikut, meskipun ternyata akan wujudnya unsur penipuan politik.

Penipuan politik bukan merupakan kesalahan dalam konteks pemikiran pengikut yang taksub dan bersifat “semberono hentam keromo,” hanya bersandarkan penampilan luaran kealiman seseorang tokoh, meski pun apa yang terkeluar daripada lidahnya penuh muslihat yang berorientasikan sumpah-sumpah dan berkaedahkan manipulatif. Bertentangan sekali dengan gagasan intelektualiti.

Realiti politik Malaysia, khususnya politik bangsa Melayu yang dikatakan berteraskan Islam, lebih terperangkap dengan politik anti intelektual. Sedangkan perubahan persekitaran memerlukan diangkat praktiskan politik intelektual dan membangunkan inteletual politik.

Konsep intelektual sebagaimana digambarkan oleh Syed Hussen Alatas, pada dasarnya bukan hanya merujuk kepada mempunyai pengetahuan lebih banyak, tetapi juga mempunyai kemampuan dan kemahuan berfikir dan mengetahui segala akibat daripada setiap tindakan.

Dalam aspek lain, pada perkiraan Syed Hussein Alatas, intelektual harus memiliki kelenturan psikologis dan kecekapan mental untuk bergerak daripada satu topik kepada satu topik yang lain tanpa pendangkalan dan tanpa mengulang kebenaran yang sudah dikenal dengan menyamarkannya sebagai penemuan baru.

Kerangka pemikiran politik, bukan bersifat mutlak, sebaliknya boleh sahaja bersifat dua alam atau pun bersifat penyamaran sumpah-sumpah.

Inilah gambaran yang dapat diperihalkan berkaitan dengan pendirian politik dan kenyataan politik. Situasinya berdasarkan keuntungan politik. Pendirian politik, bukan sesuatu yang kekal akan kerelevanannya, sebaliknya lebih bergantung kepada motif politik dan peluang politik.

Bagaimana bentuk pendirian politik dan pegangan politik berubah, jelas terpancar daripada kenyataan-kenyataan politik yang keluar daripada mulut para pemimpin Pas.

Berhubung dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai. Pimpinan Pas yang mengangkat diri mereka sebagai ulama, menegaskan bahawa larangan peimpinan Pas itu untuk mengundi calon bukan Islam sebelum ini dalam pilihan raya, bukan bersifat mutlak, sebaliknya bergantung kepada keadaan tertentu.

Realitinya, itulah “minda Pas,” Minda yang terlalu dinamik dan progresif, sehingga boleh menukar dan membatalkan apa yang sedia diperkatakan sebelum ini, boleh berpaling 360 darjah daripada pendirian asal.

Sekian lama Pas membawa dalil menghukum, sebagai haram untuk melantik pemimpin daripada kalangan bukan Islam kerana dikatakan bersalahan dengan Islam. Satu ketika Pas berhujah, “Kita minta supaya pengundi-pengundi bagi penganut beragama Islam, wajib mereka menyokong calon yang ada sifat keagamaan.”

Bermakna bagi Pas adalah wajib bagi mereka yang beragama Islam untuk menyokong (mengundi) calon beragama Islam, tentunya apabila PAS menggunakan perkataan “wajib”, maka adalah sesuatu yang mesti dilakukan, kalau ditinggalkan adalah “berdosa” (hakikat dosa pahala ini merupakan retorik PAS untuk memasungkan sokongan ahli-ahlinya agar terus patuh dan terikat dengan PAS, tanpa banyak kerenah).

Oleh yang demikian dalam konteks ini, berdasarkan hujah PAS, maka menjadi haram mengundi calon bukan Islam. Inilah ajaran yang menjadi pegangan politik ahli-ahli Pas, khususnya pada peringkat akar umbi sejak bertahun lamanya.

Namun isu ini telah berubah dalam realiti PRK Tanjong Piai. Hukumnya telah berubah sama sekali. Jelas sekali bahawa, politik PAS adalah politik anti intelektual, memperlihatkan keserabutan daya fikir dalam kepimpinan PAS untuk meletakkan hakikat sebenar dasar perjuangan PAS.

Jelas bahawa Pas lebih terjurus kepada politik menjarah hukum berdasarkan kepentingan nafsu politik. PAS walau apa pun realitinya, PAS dan para pemimpin PAS lebih cenderung untuk berlakon dalam pelbagai watak, kerana PAS dan para pemimpinnya adalah golongan yang memperlihatkan unsur terhakisnya akhlak integriti.

Hakikatnya, memang lidah tidak bertulang, setiap kata boleh di putar sesedap rasa. Asalkan sahaja boleh membuka jalan untuk mendapakan keuntungan, meskipun perlu memperdayakan para pengikutnya dengan pelbagai alasan, kononnya bersendikan hukum.

Berdasarkan hakikat inilah Hamish McRae dalam tulisannya World in 2020, mempersoalkan kewajaran moral ahli politik yang mempunyai potensi membuat kesilapan yang membinasakan, bukan sahaja membinasakan sistem sosial, sebaliknya juga membinasakan serta memusnahkan potensi pemikiran dan watak para pengikutnya. Menghancurkan integriti dan kredibiliti psikologi para penyokong mereka.

Kenyataan yang pada awalnya dianggap salah akan bertukar menjadi betul apabila tindakan tersebut dilakukan oleh Pas dan direstui oleh kepimpinan PAS yang rata-rata dianggap oleh para penyokong Pas sebagai mempunyai kapasiti ilmu agama yang tinggi, maka dengan itu apa yang terkeluar daripada mulut mereka adalah betul dan benar.

Jelasnya bagi para penyokong Pas terutamanya yang mencapai tahap ketaksuban melampau sehingga kematian daya fikir, akan berterusan terperangkap dalam kepercayaan bahawa pimpinan Pas merupakan pihak yang mempunyai “maqam” yang tinggi kerana kealiman dan keilmuannya yang luas. Sikap sesetengah ahli Pas terhadap pimpinan utama Pas, hampir menyamai sikap ahli-ahli Arqam terhadap Ashaari Muhammad.

Walhal, hakikatnya bertentangan sekali dengan konsep intelektual yang ditafsirkan oleh Syed Hussein Alatas, sebagaimana dijelaskan sebelum ini. Namun dalam aspek lain pula, pemikiran pimpinan Pasini juga terlalu dikongkong oleh pemikiran otak kiri, iaitu lebih berkecenderungan bertindak secara reaktif, berpetak-petakan dan terasing yang membina pemikiran paranoid, sebagaimana digambarkan oleh Penney Peirce dalam tulisannya, Transparency: Seeing Through to Our Expanded Human Capacity.

Tingkah laku kepimpinan Pas juga memperlihatkan wujud unsur “ego death.” Bertahun lamanya, Pas mempertahankan serta memperjuangkan pelaksanaan hukum hudud, di bumi Malaysia. Permusuhan Umno-Pas selama ini adalah berpunca daripada kegagalan Umno dalam melaksanakan hukum hudud, UMNO di”taghut”kan oleh ahli-ahli dan para penyokong Pas, pun berpunca daripada isu kegagalan UMNO (sebagai parti tonggak dalam pemerintahan sebelum tewas dalam Pilihan Raya Umum 14) melaksanakan hukum hudud.

Hukum hudud ini juga dianggap sebagai nyawa PAS, tekad perjuangan PAS. Presiden PAS menegaskan bahawa “undang-undang jenayah Islam itu telah pun ada dalam perjuangan Pas sejak lama dulu lagi.” Perjuangan untuk melaksanakan hukum hudud menjadikan PAS begitu hebat Islamnya, berbading dengan pihak lain, orang Islam lain yang berada di luar Pas. sehinggakan terdapat dalam kalangan pemimpin PAS yang mendakwa bahawa menjadi ahli Pas (dan mesti hafal nombor keahlian Pas) adalah tiket untuk ke syurga.

Perjuangan menegakkan hukum hudud ini juga telah mendorong seorang Menteri Besar untuk meletakkan jawatan sekirannya hukum hudud gagal dilaksanakan di negerinya. Penegasan yang diungkapkan pada tahun 2017, namun sehingga berlangsungnya Pilihan Raya Umum 14, beliau masih kekal sebagai Menteri Besar, sedangkan hudud tidak juga dilaksana. Terus diangkat menjadi Menteri Besar, selepas PRU14. Namun hukum hudud tetap tidak menjadi realiti dinegeri terbabit.

Pada akhirnya, berkaitan dengan hukum hudud ini, PAS telah terjerumus ke dalam konteks kaedah pemikiran Umno, apabila Presiden Pas mengakui undang-undang hudud sememangnya sukar untuk dilaksanakan. Penegasan Preaiden Pas ini, secara tidak langsung mengiktiraf penegasan Presiden Umno (juga Perdana Menteri waktu itu) tahun 2011, bahawa undang-undang hudud tidak akan dilaksanakan di Malaysia.

Bermakna Presiden Pas telah membenar dan mengiktiraf pemikiran Umno berkaitan dengan kedudukan hukum hudud di Malaysia. Jadi apa maknanya, sehingga terdapat dalam kalangan pemimpin Pas yang “menjiratkan,” pihak-pihak yang mempunyai pandangan yang berbeza dengan Pas dalam kaedah pelaksanaan hukum hudud ini?

Realitinya, Pas dan Umno telah berkongsi pandangan yang sama bersabit dengan pelaksanaan hukum hudud di Malaysia. Tanjong Piai sudah menunjukkan bahawa Pas dan Umno telah meraikan kebersamaan jalan pemikiran mereka berhubung hukum hudud, Umno telah berjaya menundukkan ego Pas dan Pas telah hilang kredibilitinya sebagai pejuang Islam, hanya jubah dan kopiah sahaja yang masih menjadi pemisah antara Umno dan Pas.

Mengharapkan Pas sebagai model politik intelektual, sejajar dengan dakwaannya bahawa Pas adalah pejuang Islam, lebih daripada itu Pas mendakwa Perlembagaannya adalah perlembagaan Islam, sesungguhnya sesuatu yang amat mengecewakan.

Berdasarkan penelitian kembali hujah Syed Hussein Alatas, bahawa “intelektual harus memiliki kelenturan psikologis dan kecekapan mental untuk bergerak daripada satu topik kepada satu topik yang lain tanpa pendangkalan dan tanpa mengulang kebenaran yang sudah dikenal dengan menyamarkannya sebagai penemuan baru.”

Maka, sebaliknya boleh disimpulkan bahawa Pas, sememangnya seringkali berfikir dalam konteks pendangkalan dan sering kali menyamar disebalik idea lama untuk ditonjolkan sebagai satu idea baru dan pemikiran baru. Jika dikatakan penyamaran itu sebagai satu kaedah Islam untuk berkuasa, maka itu adalah tafsiran daripada pemikiran eksploitatif dan tingkah laku manipulatif para pemimpin PAS untuk mengelabui sistem berfikir dalam kalangan ahli, agar terus menjadi aset parti.

*Kolumni adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris