Malaysia Dateline

Liew Chin Tong kekal Pengerusi DAP Johor

Ahli Dewan Negara, Liew Chin Tong yang juga Pengarah Strategik DAP mengekalkan kedudukannya sebagai Pengerusi DAP Johor dengan meraih 561 undi.

Pelantikan bagi penggal 2021 hingga 2024 itu diputuskan oleh jawatankuasa yang dipilih dalam Konvensyen DAP Johor ke-20 di Batu Pahat hari ini.

Untuk rekod, bekas Timbalan Menteri Pertahanan berkenaan dipilih sebagai Pengerusi DAP Johor sejak 2014.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang mendapat 577 undi mengekalkan jawatan yang disandang sebagai Timbalan Pengerusi DAP Johor.

Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin yang mendapat undian tertinggi dalam pemilihan DAP Johor kali ini mengisi senarai Ahli Jawatankuasa DAP Johor.

Jawatan Naib Pengerusi DAP negeri pula diisi muka baharu, Sheikh Umar Bagharib Ali yang memegang jawatan setiausaha publisiti sebelum ini.

Pemilihan hari ini menyaksikan tiga calon menarik diri dan 1,031 perwakilan hadir, iaitu 69 peratus daripada keseluruhan 1,489 perwakilan di Johor.

Pemilihan dijalankan dalam dua peringkat membabitkan ahli jawatankuasa negeri, seterusnya barisan 15 kepimpinan negeri dalam peringkat kedua pengundian.

Pada masa kini, DAP Johor mempunyai 23,283 ahli dan 210 cawangan berbanding tahun 2008 dengan hanya 800 ahli sahaja.

DAP adalah antara parti yang memenangi banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selain Umno, iaitu masing-masing 14 kerusi, diikuti Bersatu (12 kerusi), PKR (7), AMANAH (6), MIC (2) dan satu bagi Pas.