Malaysia Dateline

Liga Super: Selangor benam Felda United 2-1

Skuad Selangor berjaya membenam Felda United 2-1 pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak Jengka pada Ahad.

Seawal babak pertama, kedua-dua pasukan dilihat bermain secara berhati-hati dalam mengatur gerak dan menguji benteng pertahanan lawan.

Pada minit ke-44, Selangor membuka tirai jaringan menerusi Sandro Da Silva yang merembat deras dari dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, Norazlan Razali.

Bermula separuh masa kedua, The Red Giants kian memberi tekanan kepada Felda United dengan menggandakan serangan ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke-51, penyerang import Selangor, Ifedayo Olusegun meledakkan gol kedua pasukan itu melalui sepakan padu dari dalam kotak penalti.

Pada minit ke-63, The Fighters pula bangkit merapatkan jurang dengan mencipta gol pertama menerusi tendangan cantik Jocinei Schad yang mengelirukan penjaga gol, Mohd Khairulazhan Khalid.

Keputusan 2-1 yang berpihak kepada pasukan pelawat kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.– BERNAMA