Liga Super: Selangor gagal kutip mata penuh di laman sendiri

Liga Super: Selangor gagal kutip mata penuh di laman sendiri

Selangor gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 1-1 menentang juara Liga Premier 2018, Felda United pada aksi pembukaan di Stadium Shah Alam, malam ini.

Pada perlawanan berkenaan, pemain import dari Grenada, Antonio Timothy German meletakkan skuad Gergasi Merah di hadapan pada minit ke-41 menerusi percubaan daripada luar kotak penalti yang berjaya menewaskan penjaga gol Felda United, Norazlan Razali.

Felda United, bagaimanapun, berjaya menyamakan kedudukan menerusi percubaan menarik kapten pasukan, Mohamad Hadin Azman pada minit ke-69.

Terdahulu sebelum perlawanan bermula, Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan memberi cenderahati kepada bekas ‘kit man’ pasukan Selangor, Othman Saad yang berkhidmat dengan FAS selama 27 tahun.

Dalam pada itu, UKM FC membuka kempen Liga Premier dengan langkah kanan setelah menewaskan Perlis 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Pada aksi berkenaan, Faiz Hanif Adnan membuka tirai jaringan untuk UKM FC menerusi percubaan solo pada minit ke-21.

Wan Mohammad Faiz terus menambah derita skuad Singa Utara pada minit ke-56 setelah menyambar bola yang gagal ditampan kemas penjaga gol Perlis, Mohd Shahril Sa’ari.

Perlis berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi pemain import dari Brazil, Valci Teixeira Jr yang menanduk masuk hasil sepakan penjuru rakan sepasukan pada minit ke-62.- BERNAMA