Malaysia Dateline

Lihat tulisan jawi, seni khat sebagai pendidikan dan warisan sejarah, kata Nik Omar

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyeru semua pihak melihat kepentingan tulisan jawi dan seni khat sebagai aspek pendidikan dan warisan sejarah.

Yang Dpertuanya Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, (Yadim) menyokong penuh usaha kerajaan memperkenalkan seni Khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa MelayuTahun Empat mulai tahun hadapan.

Ini kerana langkah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)itu disifatkan mampu memartabatkan tulisan Jawi dan seni Khat yang diguna pakai oleh generasi dahulu, termasuk dalam urusan urusan rasmi kerajaan.

“”Pihak yang merasa resah terhadap langkah Kementerian Pendidikan ini, diseru supaya melihat isu ini dari aspek pendidikan dan warisan sejarah.

Ini kerana tulisan tersebut sebelum ini telah lama berada dalam jalur budaya masyarakat berbilang kaum negara ini tanpa ujud sebarang masalah, malah sama sama digunakan dalam persuratan rasmi dan bukan rasmi,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu Yadim turut mengesa agar KPM bertegas dalam pelaksanaannya kelak serta tidak tunduk kepada desakan pihak yang menentang langkah ini, demi memelihara warisan negara.

“Dengan langkah ini, Yadim yakin ia akan meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap tulisan Jawi dan Bahasa Arab, serta memudahkan mereka untuk mempelajari Al-Quran serta memahaminya seterusnya beramal dengannya.

“Dengan memartabatkan tulisan Jawi dan seni Khat, kekayaan seni budaya masyarakat Malaysia yang pelbagai dengan penggunaan tulisan berbeza mengikut kaum semakin jelas diraikan.

“Sebagai sebuah negara berbilang kaum, proses silang budaya perlu terus disemarakkan kepada setiap anggota masyarakat dalam mempelajari dan menghormati budaya kaum lain, termasuklah bahasa dan tulisan,ujarnya.

Tambah beliau lagi, masyarakat Melayu juga disaran untuk mempelajari bahasa dan tulisan kaum lain, selaras dengan ajaran Islam yang menggalakkan umatnya menuntut ilmu.

Sebelum ini, 138 pemimpin akar umbi DAP, termasuk 13 anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) mendesak pemimpin parti itu yang ada dalam kerajaan mendesak supaya rancangan itu ditarik balik.

Seorang pemimpin parti itu, Lim Lip Eng pula hari ini dikecam netizen apabila menyamakan tulisan khat seperti menyapu tahi lembu di muka sendiri.

Lip Eng bagaimanapun memadam hantarannya itu di Facebook selepas dikecam ramai pihak kemudiannya memohon maaf.