Lim Guan Eng akan bertemu TYT untuk bubar Dun minggu depan

Lim Guan Eng akan bertemu TYT untuk bubar Dun minggu depan

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata beliau akan bertemu Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas di Seri Mutiara minggu depan untuk mendapatkan persetujuan pembubaran dewan undangan negeri (Dun) Pulau Pinang.

Menurut laporan Bernama hari ini, sebelum pertemuan itu, Lim berkata, satu mesyuarat exco akan diadakan dan tarikhnya akan diumumkan kelak.

“Kami akan ikut proses biasa, kami perlu adakan satu mesyuarat exco dulu sebelum menghadap istana mutiara (Seri Mutiara)…itu yang saya boleh sebut hari ini. Kami akan maklumkan semua maklumat terperinci bila mesyuarat exco akan diadakan dan bila kami akan pohon hari pembubaran Dun,” katanya.

Menurut laporan itu lagi, ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah pembinaan Taman Poket Tepi Laut di sini hari ini, Lim berkata mesyuarat exco itu tidak akan dibuat pada minggu ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-14 dan menasihatkan ketua-ketua kerajaan negeri mendapatkan perkenan pembubaran DUN supaya pilihan raya dapat diselaras secara serentak di seluruh negara.

Tarikh akhir mandat Dun Pulau Pinang ialah pada 28 Jun.

Pulau Pinang diperintah Pakatan Harapan (PH) sejak 2008 dan pada pilihan raya umum lepas DAP menang 19 daripada 40 kerusi dewan undangan negeri manakala PKR (10), PAS (satu) dan Barisan Nasional (10). Bagi kerusi Parlimen, DAP menguasai tujuh kerusi, PKR (tiga) dan BN (tiga).

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS