Malaysia Dateline

Lim Guan Eng bidas pihak pertikai projek terowong bawah laut belum bermula

Ketua Menteri Pulau Pinang membidas pihak-pihak yang mempertikaikan kerajaan negeri yang masih belum memulakan kerja-kerja pembinaan terowong bawah laut dan tiga jalan utama di negeri itu.

Dalam satu sidang media semalam beliau berkata, bagaimana kerja-kerja bagi projek berkenaan hendak dimulakan sedangkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan mengenainya pada 2016, tetapi tidak menemui apa-apa.

“Kemudian pada 2018, mereka mula tangkap orang. Mengapa 2018? Kerana pilihan raya akan tiba tidak lama lagi.

“Kami akan biarkan rakyat tahu bagaimana pihak media tidak bersikap adil kepada kami. Biar rakyat tentukan,” kata beliau menurut laporan yang disiarkan dalam Facebook rasmi beliau.

Menurut Lim, kerajaan negeri akan membiarkan rakyat membuat keputusan sama ada mereka mempercayai media atau Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Biar mereka buat keputusan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan membiarkan rakyat menentukan sama ada mereka mahu Barisan Nasional (BN) mengambil alih dan lihat apakah rancangan mereka untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya.

“Anda (BN) kata mengapakah kerja-kerja belum dimulakan. Lihat, berapa banyak halangan dan sabotaj daripada BN.

“Andalah yang menghalang dan mensabotaj projek-projek kami di mana kerajaan pusat tidak menghulurkan satu sen pun.

“Semuanya dibiayai oleh kerajaan negeri melalui pertukaran dengan tanah.

“Dan anda bertanya mengapa projek belum dimulakan,” kata beliau.