Malaysia Dateline

Lim Guan Eng dihalang masuk Sabah

Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng telah dihalang daripada memasuki negeri Sabah semalam.

Beliau dimaklumkan oleh pegawai Imigresen bahawa pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meletakkan halangan untuk beliau memasuki Sabah.

Beliau yang tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu dan melepasi Imigresen dengan diberi pas lawatan sosial pada 11.54 malam.

Bagaimanapun, ketika hampir memasuki kereta beliau didatangi seorang pegawai Imigresen kanan dan mengarahkan beliau masuk semula ke pejabat Imigresen.

“Saya berikan kerjasama dan ikut ke pejabat imigresen.

“Selepas menunggu 20 minit, saya tanya apa masalahnya? Mereka mendakwa bahawa SPRM telah meletakkan halangan untuk saya masuk ke Sabah. Ape ni? Bukankah ini kuasa kerajaan negeri Sabah?” soalnya.

Katanya, Najib Razak yang didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, denda RM210 juta boleh masuk tanpa masalah begitu juga Zahid Hamidi yang sedang berdepan kes Mahkamah pun boleh masuk tanpa masalah.

“Mengapa saya dihalang masuk ke Sabah? Ini lagi satu kes antara dua darjat, double standard kah?” soal Guan Eng.

Guan Eng turut mempersoalkan tindakan itu adalah kuasa kerajaan negeri dan bukan kuasa kerajaan pusat.

“Adakah ini satu lagi usaha campurtangan pusat terhadap hak dan kuasa negeri?

Akhirnya, selepas setengah jam, saya dibenarkan masuk semula ke Sabah.

“Takpe lah, nanti saya akan tanya Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal, adakah beliau tak mau saya masuk Sabah?” katanya di Facebook.

Awal Ogos lalu, Lim Guan Eng telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram.