Malaysia Dateline

Lim Guan Eng saman fitnah terhadap Azmin Ali, juga Mahiaddin

Lim Guan Eng mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan saman fitnah terhadap Mohamed Azmin Ali kerana membuat kenyataan palsu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Penyandang kerusi Bagan itu berkata Azmin telah memfitnahnya sekali lagi kerana cuba mensabotaj agensi milik bumiputra seperti Ekuinas namun sehingga kini dia gagal menunjukkan bukti untuk menyokong dakwaan liarnya.

“Memandangkan beliau terus mengulangi fakta palsu ini tanpa menunjukkan sebarang bukti, saya tidak mempunyai pilihan selain mengarahkan peguam saya mengambil tindakan segera.

“Saya juga akan mempertimbangkan untuk memfailkan prosiding fitnah terhadap Pengerusi PN Mahiaddin Yassin kerana membuat kenyataan palsu yang serupa berkaitan terhadap saya baru-baru ini.

“Keputusan muktamad akan dibuat selepas perbincangan dengan peguam saya selepas hari pengundian pada hari Sabtu,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Azmin memfitnah dengan menyatakan beliau menaggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk ‘mengejar’ semua syarikat berkaitan MCA dan bertanggungjawab terhadap cukai baharu menyasarkan perniagaan Cina tertentu.

Guan Eng yang juga Pengerusi DAP, menafikan pernah menggunakan LHDN untuk menyasarkan mana-mana ahli perniagaan Cina.

“Walaupun saya berulang kali meminta Azmin menunjukkan bukti, beliau gagal berbuat demikian.

“Azmin telah memilih saya untuk dijadikan sasaran dengan membuat serangan peribadi walaupun saya tidak membuat provokasi terhadapnya namun beliau tetap dengan mencipta pembohongan dan diterbitkan oleh MCA dan akhbar prokerajaan.

“Saya sebelum ini telah menang saman fitnah di mahkamah berhubung perkara berkaitan di mana saya telah difitnah menyalahgunakan kuasa saya sebagai Menteri Kewangan pada 2019. Seorang ahli perniagaan yang juga penyokong kerajaan sekarang telah menyindir bahawa badan cukai itu mengejarnya selepas dihasut oleh saya,” katanya.