Lim Kit Siang berundur dari politik selepas 56 tahun bersama DAP

Oleh ARIF ATAN

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini mengumumkan berundur dari arena politik selepas berkecimpung selama 56 tahun dan menjadi antara pengasas parti itu.

Berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-17, Ahli Parlimen Iskandar Puteri tersebut mengesahkan tidak akan bertanding bagi jawatan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Malah, bapa kepada Lim Guan Eng itu juga mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan persaraan saya daripada politik.

“Saya menarik diri dari bertanding pilihan CEC hari ini. Sila padamkan no. 39 dari senarai calon CEC anda.

“Saya juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya Parlimen atau negeri di masa hadapan. Saya telah berada dalam parti selama 56 tahun.

“Dua hari lepas merupakan ulang tahun ke-56 parti kita, dan selama ini saya melihat bagaimana parti kita telah berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil yang mengambil bahagian pertama kali dalam Pilihan Raya Umum tahun 1969, sehingga menjadi sebuah parti politik utama yang berjaya menubuh kerajaan Persekutuan serta mengambil alih kerajaan di tujuh negeri bersama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan semasa PRU-14,” katanya.

Lim Kit Siang berundur dari politik selepas 56 tahun bersama DAP
Kit Siang bersama Anwar, Mohamad Sabu serta pemimpin DAP dalam Kongres Ke-17 DAP di Shah Alam, Selangor hari ini.

Dalam masa sama, beliau berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru berlangsung merupakan satu peringatan yang penting bahawa impian Malaysia adalah sebuah negara bersatu padu, demokratik, adil dan berjaya serta dihormati masyarakat antarabangsa.

“Kita mewakili harapan dan aspirasi rakyat Malaysia yang mahu melihat Malaysia berdiri megah di persada dunia kerana pencapaian kita dalam pelbagai bidang dan berjaya membina negara berlandaskan ciri-ciri kemajmukan yang sedia ada di negara ini — pelbagai kaum, agama, budaya dan tamadun — dan bukannya menjadi bahan jenaka atau diperli oleh masyarakat dunia kerana kita menjunam menjadi sebuah kleptokrasi, kakitokrasi dan negara yang gagal.

“Kita mesti mencetus semula harapan dan keyakinan terhadap masa depan kerana sama ada kita dapat memutar semula trend kemerosotan negara kita sejak setengah abad ini adalah bergantung kepada kita semua.

“Belum pernah lagi dalam sejarah DAP, semangat perpaduan, setiakawan, komitmen dan keazaman menjadi begitu penting dalam usaha kita untuk merealisasikan Impian Malaysia,” katanya lagi.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/book-review-of-lim-kit-siang-malaysian-first/

Baca juga: https://themalaysialife.com/nasihat-anak-sendiri-dulu-baru-tenteram-hidup-menantu/