Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang disahkan positif Covid-19 selepas melakukan dua ujian iaitu RTK dan PCR.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Politik beliau Syahredzan Johan sebentar tadi.
“Awal hari ini di Parlimen, beliau melakukan ujian RTK Covid-19 dan memandangkan ia menunjukkan keputusan positif, ujian PCR Covid-19 telah dijalankan.
“Ujian PCR kemudian mengesahkan bahawa dia positif Covid-19,” kata beliau.

Lim Kit Siang telah diberi vaksin dan juga mengambil suntikan penggalaknya, dan setakat ini dia hanya mengalami gejala ringan seperti batuk.
Beliau kini berada di bawah kuarantin mengikut protokol kuarantin biasa.
“Bagi pihak Sdr Lim Kit Siang, memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku,” katanya.
Lim Kit Siang membuat kejutan semalam di Kongres Kebangsaan DAP Ke-17 apabila mengumumkan berundur dari arena politik selepas berkecimpung selama 56 tahun dan menjadi antara pengasas parti itu.
Beliau mengesahkan tidak akan bertanding bagi jawatan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).