Lima aktivis Orang Asli dalang bina sekatan ditahan

Lima aktivis Orang Asli dalang bina sekatan ditahan

Lima individu dipercayai aktivis Orang Asli ditahan kerana disyaki menjadi dalang dalam perbuatan mendirikan halangan dan pondok secara haram di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di Gua Musang.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) Datuk Zahari Ibrahim berkata kumpulan lelaki itu ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan untuk meroboh pagar halangan di laluan masuk ke HSK itu, membabitkan 133 orang pegawai dan anggota JPNK, Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa dan Polis Diraja Malaysia.

“Operasi ini dilakukan sebagai langkah susulan kerana kalangan masyarakat Orang Asli masih berdegil dan enggan mematuhi amaran berkaitan halangan berkenaan, yang dikeluarkan oleh JPNK pada 29 Nov 2016,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zahari berkata kumpulan Orang Asli itu yang disyaki diketuai oleh kumpulan Jaringan Kampung Orang Asal Kelantan (JKOAK) enggan berganjak dan mematuhi amaran yang telah dikeluarkan sebelum ini malah tetap dengan pendirian mereka untuk mendirikan lebih banyak halangan.

Beliau berkata pihak JPNK mengesyaki wujud campur tangan daripada pihak luar menyebabkan sebilangan besar Orang Asli bertindak melampaui batas perundangan sedia ada.

Bagaimanapun, katanya hasil pemerhatian semasa operasi di HSK Balah, Gua Musang, semalam, mendapati sokongan dan penglibatan masyarakat Orang Asli di kawasan halangan didirikan semakin berkurangan.

“Ini mungkin disebabkan mulai wujud kesedaran bahawa mereka telah dipermainkan oleh pihak luar terutamanya bagi kepentingan individu,” katanya.

Zahari berkata JPNK telah mengeluarkan beberapa kenyataan sebelum ini bahawa tindakan sebilangan masyarakat Orang Asli itu adalah menyalahi peruntukan di bawah Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

Ini kerana kawasan yang didirikan halangan dan pondok itu adalah dalam kawasan berstatus Hutan Simpan Kekal dan bukannya kawasan perkampungan mereka yang sebenarnya, katanya.

Beliau berkata JPNK akan meneruskan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Perhutanan bersama-sama Batalion 8 PGA Kelantan bagi menggelakkan sebarang bentuk pencerobohan di kawasan Hutan Simpan kekal itu termasuk pembalakan haram yang menyalahi Enakmen Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993).

TAGS