Malaysia Dateline

Lima cadangan perkasa institusi Dun Johor, kata Speaker

Bengkel Memperkasa Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor selama dua hari yang berakhir hari ini, menggariskan lima resolusi dan cadangan untuk diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Speaker Dun Johor, Suhaizan Kaiat, berkata lima cadangan berkenaan digariskan bagi menghadapi cabaran politik Malaysia baharu, budaya politik murni yang progresif, semak dan imbang serta terbuka dan berdaya maju.

Katanya, lima keputusan penting yang diangkat kepada pihak pentadbiran kerajaan negeri ialah penstrukturan semula institusi Dun Johor.

“Fungsi institusi Dun yang lebih besar selepas ini memerlukan kepada jurutulis khusus menumpukan kepada urusan dewan sahaja dan dipisahkan daripada urusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) seperti amalan sekarang.

“Kedua, wujud keperluan membentu lebih banyak Jawatankuasa Pilihan berbanding hanya tiga sekarang dan penubuhan jawatankuasa adalah selari dengan amalan Parlimen di negara luar, sejajar Commonwealth Parliamentary Association (CPA).

“Ketiga adalah cadangan peruntukan RM800,000 setahun perlu dilaksanakan tahun depan berbanding RM350,000 setahun pada masa ini dengan mekanisme penyaluran peruntukan kepada wakil rakyat perlu lebih jelas, cepat, telus dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup Bengkel Memperkasa Dun Johor yang disempurnakan Dr Sahruddin, seperti dilapor bharianonline hari ini.

Pada majlis sama, Menteri Besar turut merasmikan Portal DUN Johor dalam usaha memastikan Dewan Negeri lebih dekat dan mesra dengan rakyat.

Suhaizan berkata, cadangan keempat adalah menambah baik mutu perbahasan DUN Johor supaya Ahli Dewan dapat menyampai maklumat kepada rakyat dengan lebih berkesan.

“Kelima, Dun Johor perlu lebih mesra rakyat, portal Dun Johor akan membantu rakyat lebih dekat dengan Dewan Negeri selain melaksanakan program bertemu dengan rakyat dan Dewan Anak Muda seperti yang dilaksanakan Parlimen Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Dr Sahruddin menyambut baik resolusi yang dicapai dalam bengkel berkenaan dan akan meneliti bersama cadangan yang dikemukakan dalam usaha menambah baik perjalanan Dun Johor.