Lima calon AMANAH kerusi Parlimen di Selangor sah perang tiga penjuru

 

Mohamad Sabu bertanding di Parlimen Kota Raja.

Lima calon AMANAH di kerusi Parlimen Selangor bakal berperang sekurang-kurangnya tiga penjuru di gelanggang pilihan raya umum (PRU), 9 Mei ini.

Bertanding atas logo PKR seperti mana parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain, persaingan sengit berlaku ekoran keputusan Pas meletakkan paling ramai calon sepanjang penglibatan Pas dalam PRU sejak 1959.

Bagaimanapun, empat daripada calon AMANAH bagi kerusi Parlimen di Selangor bukan calang-calang. Mereka merupakan nama besar dengan pengalaman politik mencecah puluhan tahun ketika berada dalam parti lama Pas sebelum ini.

Asam garam berpolitik hampir 40 tahun yang ditempuhi Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menyumbang kekuatan untuk bekas Timbalan Presiden Pas berkenaan bertanding di Parlimen Kota Raja (P111).

Mohamad yang pernah tiga penggal menjadi Ahli Parlimen itu bakal berdepan calon BN, V. Gunalan yang merupakan Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC.

Pesaingnya dari Pas pula adalah Yang Dipertua Kawasan Kota Raja, Mohamed Diah Baharun.

Khalid Samad dilihat sebagai pimpinan AMANAH paling aktif dengan siri dialog secara langsung di media sosial.

Untuk rekod, Mohamad yang mesra dipanggil Mat Sabu pernah menang dalam PRU 1990 di kerusi Parlimen Nilam Puri diikuti Parlimen Kubang Kerian pada PRU 1995 seterusnya PRU 1999 di Parlimen Kuala Kedah.

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Shah Alam (P108), Khalid Samad dan P113 Sepang, Hanipa Maidin mempertahankan kerusi yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

Khalid yang merupakan Pengarah Komunikasi AMANAH bakal bertempur dengan calon BN yang merupakan Ketua Umno Bahagian Shah Alam, Azhari Shaari.

Poster kempen Dr Dzulkefly Ahmad sebagai calon Pakatan Harapan Kuala Selangor.

P108 juga antara kerusi panas yang menjadi tumpuan apabila penyandang dua penggal kerusi itu dicabar Ketua Pusat Penyelidikan Pas yang kontroversi, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Pendirian politik semasa Pas yang mengelirukan dilihat tidak banyak memberi peluang kepada Zuhdi untuk merampas kawasan bandar dengan majoriti kelas menengah Melayu itu daripada Khalid.

Di Parlimen Sepang, peguam Hanipa yang menang tipis dengan majoriti 1,104 undi pada PRU 2013 bakal berentap dengan calon BN, Datuk Marsum Paing dan calon Pas, Sabirin Marsono.

Walaupun Marsum merangkap Ketua Umno Bahagian Sepang itu pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil pada PRU 2008 tetapi kelantangan Hanipa di Parlimen memperjuangkan hak rakyat lebih ketara menonjol.

Penampilan kembali Pengarah Strategik AMANAH, Dr Dzulkefly Ahmad untuk bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada PRU-14 ibarat sirih pulang ke gagang.

Pusat Khidmat Ahli Parlimen Sepang sebelum ini banyak membantu masyarakat setempat.

Tewas dengan hanya majoriti 460 undi kepada penyandang BN, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim pada PRU-13, kali ini Dr Dzulkefly berusaha untuk merampas kerusi yang pernah dimenanginya ketika berada dalam Pas pada PRU 2008.

Dengan gerak kerja beliau dan AMANAH Kuala Selangor yang dilakukan sejak awal, beliau dilihat tiada masalah besar untuk berdepan dengan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu dan calon Pas, Fakaruddin Kassim.

Ustaz Hasanuddin Yunus ketika berucap pada pelancaran Jelajah Harapan Selangor semalam.

Seorang lagi calon AMANAH, Ustaz Hasanuddin Yunus bakal berentap dengan calon BN, Azman Daud dan penyandang Parlimen Hulu Langat (P101), Dr Che Rosli Che Mat dari Pas.

Meskipun Naib Presiden AMANAH itu pertama kali muncul dalam politik pilihan raya tetapi gerak kerja AMANAH Hulu Langat ke lapangan dilaksanakan jauh lebih awal sejak akhir tahun 2015 lagi.

Kelebihan daripada segi jentera terbukti apabila AMANAH Hulu Langat yang menjadi antara kawasan paling awal ditubuhkan di Selangor berjaya merangkul Anugerah Kawasan Paling Banyak Cawangan pada Konvensyen Nasional AMANAH 2016.

9.4
OVERALL SCORE
: 10.0
4 user votes x 9.3