Lima hari pembatalan Ordinan Darurat dirahsiakan, Kabinet XXL PM mesti letak jawatan

Oleh ARIF ATAN

Beberapa kali saya telah bangun di Dewan Rakyat semalam untuk berucap tetapi tidak diberi peluang oleh Speaker dan juga Timbalan Speaker. Saya ingin berucap ringkas sahaja iaitu tentang perkara Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya yang tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

Justeru itu, saya mengambil ruang melalui media untuk menzahirkan pendirian saya supaya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota kabinetnya meletakkan jawtan dengan serta merta. Alasan saya seperti berikut.

Isu pokok yang ingin saya bangkitkan ialah perkara yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menteri Takiyuddin Hassan menyatakan di Dewan Rakyat pagi semalam 26 Julai 2021, bahawa semua Ordinan Darurat yang dibuat semasa Proklamasi Darurat bermula pada 12 Januari 2021 telah dibatalkan oleh Kabinet pada 21 Julai 2021.

Ini satu pengumuman besar oleh de facto Menteri Undang-Undang di dalam Dewan Rakyat di mana Perdana Menteri hadir sama mendengarnya. Saya juga hadir di Dewan Rakyat ketika itu dan mendengar pengumuman Menteri Takiyuddin Hassan itu.

Apakah Kenyataan Menteri Takiyuddin Hassan itu benar? Ini perlu dijawab oleh Perdana Menteri.

Pembatalan Ordinan Darurat terletak dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

Permasyhuran segala Proklamasi Darurat dan semua Ordinan Darurat dibuat atas nama Yang di-Pertuan Agong. Persoalannya, kenapakah tidak ada permasyhuran pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut oleh Yang di-Pertuan Agong?

Saya berharap pada sesi petang semalam, Perdana Menteri selaku Ketua Jemaah Menteri atau Kabinet akan menjawab dan memberi penjelasan tentang kenyataan Menteri Takiyuddin Hassan itu.

Tetapi Perdana Menteri tidak muncul di Dewan Rakyat pada sesi petang. Mengapa pengumuman pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat yang penting itu tidak dilakukan sendiri oleh Perdana Menteri?

Jika tiada penafian daripada Perdana Menteri, ia membawa makna kenyataan Menteri Takiyuddin Hassan itu adalah benar.

Soalan selanjutnya, adakah Yang di-Pertuan Agong telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri akan hasrat Kabinet untuk membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?

Adakah Perdana Menteri telah menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?

Kalau jawpannya Ya, persoalan berikutnya, adakah Yang di-Pertuan Agong telah menandatangani sebarang dokumen atau surat memberi perkenan Baginda terhadap pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut?

Rakyat seluruh negara yang ditangkap, dilokap, dihantar ke penjara, disaman, dikompaun, dikuarantin, dan segala macam sekatan, larangan di bawah PKP dan Ordinan Darurat inginkan penjelasan dari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya.

Jika sejak 21 Julai 2021 segala Ordinan Darurat itu telah dibatalkan tetapi dirahsiakan pembatalannya sehingga hari ini baru didedahkan di Parlimen, apakah punca kuasa yang ada pada Kerajaan Perikatan Nasional untuk menjalankan pentadbirannya dari tempoh 21 Julai 2021 sehingga 1 Ogos 2021 (apabila Proklamasi Darurat itu tamat)?

Apakah implikasi undang-undang terhadap tindakan, perlakuan, keputusan yang kerajaan atau pegawai-pegawainya, kakitangan awam, atau agensi-agensi kerajaan yang telah ambil di bawah Ordinan-Ordinan Darurat sejak 21 Julai itu hingga hari ini tetapi hakikat sebenarnya Ordinaan itu telah dibatalkan?

Adakah tindakan kerajaan itu sah? Adakah menurut undang-undang? Ini semua menuntut jawapan daripada Perdana Menteri.

Kalau sesungguhnya benar apa yang diumumkan oleh Menteri Takiuddin Hassan itu bahawa semua Ordinan Darurat itu telah dibatalkan sejak 21 Julai 2021, maka saya ingin bertanya kenapa tidak ada dokumen pembatalan ordinan-ordinan darurat itu dibentangkan di Parlimen?

Kalau sungguh apa yang dikatakan oleh Menteri Takiyuddin Hassan itu benar bahawa semua Ordinan Darurat itu telah dibatalkan, bolehkah Menteri yang berkenaan nyatakan bilakah Pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut telah diwartakan di dalam Warta Kerajaan? Jika ada, bila tarikh Warta Kerajaan tersebut?

Ini perkara besar, perkara perundangan berkenaan Darurat yang menyentuh kehidupan jutaan rakyat, yang tiga kali mengalami lockdown atau PKP Penuh. Ramai yang hilang pekerjaan dan keruntuhan perniagaan akibat perintah PKP di bawah pelbagai Ordinan Darurat.

Hal ini juga bersangkut paut dengan Perlembagaan Persekutuan. Setiap Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan semua Ahli Parlimen dikehendaki mengangkat sumpah berikrar mempertahankan dan melindungi Perlembagaan Persekutuan sebagai Undang-Undang Tubuh bagi Malaysia.

Sistem demokrasi berparlimen serta Raja Berperlembagaan di Malaysia meletakkan Perlembagaan Persekutuan itu di kedudukan yang tinggi.

Jika Menteri Takiyuddin Hassan didapati mengelirukan Parlimen, maka beliau perlulah mengambil tindakan terhormat dan bermaruah dengan meletakkan jawatan.

Jika enggan maka, paling tidak de facto Menteri Undang-Undang itu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk diambil tindakan.

Sebaliknya, jika apa yang dikatakan oleh Menteri Takiyuddin Hassan itu benar, maka ia adalah satu kesilapan besar Jemaah Menteri dan Perdana Menteri di bawah undang-undang Perlembagaan.

Dan sekiranya Yang di-Pertuan Agong tidak dimaklumkan, tidak dirundingi, tidak diminta perkenan baginda untuk pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat tersebut, maka ini suatu perbuatan pelanggaran Perlembagaan oleh Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri.

Jika itu yang sebenanya berlaku, maka di bawah prinsip tanggungjawab bersama Jemaah Menteri, maka jalan terhormat dan bermaruah yang perlu diambil oleh Jemaah Menteri dan Perdana Menteri tidak lain dan tidak bukan,hanya satu, iaitu meletakkan jawatan.