Malaysia Dateline

Lima individu termasuk pegawai kanan bergelar datuk dibebas dengan jaminan SPRM

Lima individu termasuk seorang pengawai kanan jabatan kerajaan bergelar Datuk, yang direman selama empat hari sejak Isnin lalu, dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Johor Bahru Nurhidayah Abd Manaf mengeluarkan perintah itu selepas tempoh reman empat hari terhadap kelima-lima suspek berkenaan tamat hari ini .

Pegawai kanan berkenaan bersama tiga pegawai daripada jabatan yang sama dibebaskan dengan ikat jamin SPRM masing-masing RM10,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin manakala seorang lagi suspek iaitu ahli perniagaan berusia 50 tahun, dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan deposit serta seorang penjamin.

Kelima-lima mereka ditahan Ahad lepas (25 Nov) bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

SPRM menahan pegawai kanan berusia 44 tahun itu di pejabatnya pada jam 10 pagi, Ahad lepas, manakala tiga lagi pegawai jabatan yang sama termasuk seorang wanita, berusia antara 38 dan 46 tahun, ditahan ketika mereka hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Johor, antara jam 3.25 hingga jam 3.45 petang.

Sementara itu, ahli perniagaan berusia 50 tahun ditahan di pejabat syarikatnya di sekitar daerah ini, pada jam 10.25 pagi hari yang sama.

Menurut sumber, pegawai kanan terbabit disyaki menerima rasuah bagi meluluskan permohonan pas lawatan iktisas dan pas lawatan kerja sementara tanpa mengikut prosedur ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Selain penahanan, SPRM turut menjumpai wang tunai dalam pelbagai mata wang yang dianggarkan bernilai RM91,000 serta buku akaun bank di Singapura atas nama pegawai kanan ini yang mengandungi wang bernilai RM1.8 juta.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

— BERNAMA