Malaysia Dateline

Lima kawasan di Miri bakal miliki Pusat APM

Lima kawasan pedalaman di Miri bakal mempunyai pangkalan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi menghadapi situasi bencana banjir yang kerap berlaku saban tahun.

Pengarah Angkatan Pertahan Awam (APM) Sarawak Mohtar Samat berkata, antara kawasan yang dikenalpasti ialah Marudi, Baram, Subis, Telang Usan dan Beluru.

Katanya, pangkalan berkenaan adalah bertujuan untuk memudahkan pengurusan risiko bencana khususnya banjir kilat.

“Fokus utama adalah lebih tertumpu kepada Pusat Marudi yang akan dibuat terlebih dahulu memandangkan kawasan tersebut sukar diakses dan jauh terpencil berbading kawasan-kawasan lain.

“Faktor jarak yang jauh dan bentuk muka bumi berbukit bukau memperlahankan bantuan logistik APM dari Bandaraya Miri ke Marudi antara kekangan yang dilalui pihak APM Sarawak ketika situasi banjir,” jelasnya.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, Ismail Mahedin memaklumkan setakat hari ini bahagian Miri antara yang paling terjejas teruk telah direkodkan.

Tambahnya, 20 kawasan meliputi daerah Beluru dan Marudi, 11 sekolah dan sebuah fasiliti klinik kesihatan (KK Long Teru) terjejas teruk ekoran bencana banjir yang melanda di negeri ini sejak Disember 2019.

“Ekoran bencana itu, sebuah sekolah di Bahagian Miri iaitu Sekolah Kebangsaan (SK)Benawa terpaksa ditutup akibat laluan ke sekolah terputus membabitkan 53 murid, 13 guru dan 7 kakitangan sekolah.

Ismail turut berkata paras air di kawasan terjejas dilaporkan menurun setakat sebelah petang ini dan tiada Pusat Pemindahan dibuka.