Malaysia Dateline

Lima kementerian dikemudi AMANAH laksana tugas kepada rakyat

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu hari ini menyenaraikan pencapaian yang diperoleh lima kementerian yang diketuai pemimpin dari parti tersebut.

Bermula dengan Kementerian Pertahanan yang diterajuinya, beliau memberitahu, sebanyak RM500 juta kerugian akibat Land Swap di kem-kem tentera seluruh negara berjaya dirunding semula setelah disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).

“Disamping itu, agenda kebajikan rakyat tetap berada pada kedudukan teratas.

“Dengan hasrat untuk memberi keselesaaan kepada keluarga angkatan tentera yang berjuang untuk mempertahankan kedaulatan negara, di pihak Kementerian Pertahanan kita berjaya meningkatkan hampir tiga kali ganda bajet untuk membaik pulih rumah keluarga anggota tentera,” ujarnya.

Beliau berkata demikan dalam Pidato Presiden sempena Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di IDCC, Shah Alam hari ini.

Bagi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula, Mohamad berkata, telah meletakkan objektif menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan petani, penternak dan nelayan serta agroprenuer muda.

“Antara program yang sedang berjalan termasuklah program peningkatan pendapatan melalui penggunaan teknologi baru, peningkatan usahawan tani dan juga penampahan pendapatan melalui industri hiliran,” ujarnya merujuk kepada kementerian yang diterajui Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan komited untuk membantu orang Melayu memanfaatkan aset hartanah mereka di Kampung Baru di tengah-tengah Kuala Lumpur.

“Kerajaan juga telah bertindak untuk memperkasakan kedudukan orang Melayu di pusat bandaraya.

“Pembangunan semula Kampung Baru ini bukan sahaja akan menambahkan berkali ganda jumlah orang Melayu yang tinggal di ibu kota, bahkan ia akan menghasilkan jutawan Melayu dengan aset pelaburan yang bersifat jangka panjang,” ujarnya.

Untuk rekod, Menteri Wilayah Khalid Samad sebelum ini mengumumkan tawaran harga RM1,000 satu kaki persegi untuk membeli tanah yang terbabit dalam pembangunan semula di Kampung Baru adalah nilai tertinggi pernah ditawarkan kerajaan terhadap mana-mana tanah milik orang Melayu di negara ini.

Mohamad dalam pidatonya dalam konvensyen bertemakan, ‘Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’ turut menyebutkan pencapaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diterajui Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

“KKM berani membuat penegasan bahawa dalam 18 bulan kita telah melunaskan 90 peratus dari janji-janji Manifesto dalam kesihatan. Selainnya mesti berterusan memperbaiki mutu penyampaian perkhidmatan.

“Secara lebih khusus, peruntukan RM60 juta untuk memulakan program vaksin pneumococcal (Pneumococcal Conjugate Vaccine-PCV) untuk tahun 2020 adalah satu kejayaan kerajaan PH kerana ia merupakan satu janji manifesto,” ujarnya.

Mohamad juga menjelaskan kematian akibat infeksi bakteria pneumococcal kerana komplikasi pneumonia adalah cabaran global termasuk kanak-kanak di Malaysia.

“Kerajaan BN gagal memperuntukkan ini meskipun telah dituntut dan nanti-nantikan oleh fraterniti perubatan seperti Persatuan Padaetrik Malaysia (MPA) selama lebih 15 tahun,” tegasnya.

Konvensyen Nasional 2019 AMANAH yang berlangsung hari ini sehingga lusa menyaksikan pemilihan kepimpinan parti buat pertama kali sejak ditubuhkan pada 2015.