Malaysia Dateline

Lima kes kluster baharu pusat jagaan warga emas

Dr Noor Hisham Abdullah

Sebanyak lima kes dikesan setakat ini membabitkan kluster baharu Covid-19 di pusat jagaan warga emas di Kuala Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, kes jangkitan pandemik itu melibatkan warga emas di pusat jagaan dengan pertambahan satu lagi kes baharu hari ini.

Menurutnya, dua kes dikesan pada 17 Mei lalu hasil daripada saringan dilakukan terhadap semua penghuni pusat jagaan berkenaan.

“Dua belas kakitangan dan 26 penghuni yang lain juga sudah disaring pada 17 Mei lalu dan keputusan mereka adalah negatif.

“Selepas sebulan, saringan dijalankan terhadap seorang penghuni yang mempunyai Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di Hospital Tanjung Karang mendapati dia postifi Covid-19,” katanya pada sidang media harian, di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, warga emas itu didapati negatif ketika ujian saringan pertama dijalankan pada 17 Mei lalu.

“Pengesanan aktif kini sedang dijalankan, langkah-langkah pencegahan turut diambil termasuk nyahkuman dan nyahcemar di pusat jagaan berkenaan,” tambahnya.