Malaysia Dateline

Lima lagi mangsa seksual pendakwah selebriti tampil buat laporan polis

Lima lagi mangsa kes rogol, cabul dan seks luar tabii membabitkan seorang pendakwah selebriti tampil membuat laporan polis hari ini.

Ini menjadikan terdapat enam laporan polis dibuat membabitkan suspek yang juga penyanyi dan pelakon berusia 25 tahun itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata pihaknya menerima lima laporan itu di Shah Alam dan satu di Petaling Jaya.

“Suspek itu akan tamat reman untuk kes pertama pada 1 Disember. Namun, beberapa laporan baharu diterima hari ini. Suspek akan dimohon reman untuk siasatan kes yang baru diterima.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan (KK) kerana rogol, 354 KK (cabul), 377C KK (seks luar tabii) dan 323 KK (mencederakan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Fadzil berkata, pihaknya menyeru sekiranya ada wanita lain yang menjadi mangsa supaya jangan berasa bimbang tampil membuat laporan polis.

Suspek yang sedang direman selama lima hari berakhir esok, bagi membantu siasatan kes rogol seorang gadis pada tahun lalu.

Perintah reman terhadap suspek yang merupakan bekas peserta rancangan realiti televisyen berbentuk keagamaan pada 2016 itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah, Mohd Zamir Suhaimee.