Lima pasar raya Giant tutup mulai 5 November

Lima pasar raya Giant tutup mulai 5 November

Lima pasar raya besar Giant akan menutup operasinya mulai 5 November ini walaupun Perdana Menteri menguar-uarkan ekonomi Malaysia berada pada kedudukan baik pada pembentangan belanjawan lalu.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd berkata, keputusan tersebut diambil setelah “mengkaji semula operasi dan untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti”.

Kesemua cawangan pasar raya besar itu adalah di Sri Manjung, Sungai Petani, Pusat Bandaraya Shah Alam (SACC), Sibu dan Selayang Lama.

Dalam kenyataan yang sama, Giant berkata ia akan memindahkan kedainya di Bercham ke premis yang diperluaskan.

“Ini akan menggandakan saiz kedai yang akan menyediakan lebih banyak penawaran, pelbagai produk yang lebih besar dan lebih banyak kemudahan untuk para pelanggannya.

“Di samping itu, menjelang akhir tahun ini, GCH Retail akan melancarkan semula kedai konsep baru yang menarik oleh Cold Storage di KLCC di Kuala Lumpur,” dipetik dari sumber Free Malaysia Today.

Syarikat itu dalam kenyataan itu juga memaklumkan untuk “mencipta pengalaman runcit positif untuk para pelanggan kami”.

Walau bagaimanapun, tidak diketahui kedudukan kakitangan Giant yang terjejas akibat penutupan premis terbabit.

Sebelum ini, ribuan rangkaian peluang pekerjaan ditawarkan kepada penduduk tempatan seperti pernah diakui Ketua Pegawai Eksekutif GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. (GCH Retail), Pierre Olivier Deplanck dalam majlis pembukaan Giant Tunjung, di Kota Bharu pada 30 Mac lalu.

Baru-baru ini, tular di media sosial gambar yang dikaitkan dengan jualan penghabisan stok oleh Giant sebelum menutup perniagaannya mulai 5 November ini.

Pelbagai barangan dijual pada potongan harga yang amat tinggi sehingga mencecah 70 peratus berbanding harga asal.

Antaranya, baju kanak-kanak dijual pada harga hanya RM2 sepasang dan penyangkut baju dijual cuma RM1.

Giant dahulunya dikenali sebagai Dairy Farm Giant Retail Sdn Bhd dengan pada masa ini mengendalikan lebih daripada 120 kedai.

Tahun lalu, Giant dilapor menaik taraf 28 cawangannya di seluruh negara dengan perbelanjaan modal bagi sesebuah cawangan yang dinaik taraf ialah RM2.5 juta bergantung kepada saiz pasar raya itu.

Giant juga pada Disember 2015 merancang untuk membuka empat cawangan baharu menjelang pertengahan 2016 antaranya di Jertih, Terengganu; Setapak, Kuala Lumpur; Kangar, Perlis dan Kota Bharu, Kelantan.

6.3
OVERALL SCORE
2 user votes x 9.5