Lima penduduk Palestin cedera dalam pertempuran di utara Gaza

Lima penduduk Palestin cedera dalam pertempuran di utara Gaza

Sekurang-kurangnya lima penduduk Palestin cedera pada Selasa malam selepas ditembak tentera Israel dalam satu pertempuran di sempadan maritim yang terletak antara utara Semenanjung Gaza dan Israel, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza.

Ashraf al-Qedra, jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, memaklumkan pemberita bahawa tentera Israel yang ditempatkan di kawasan sempadan itu telah melepaskan tembakan dan mencederakan sekurang-kurangnya lima penduduk Palestin, dengan dua daripada mereka parah.

Beliau berkata berpuluh-puluh lagi lemas selepas terhidu gas asap pemedih mata yang ditembak oleh tentera rejim.

“Mangsa yang cedera akibat tembakan peluru hidup telah dikejarkan ke hospital manakala mereka yang cedera ringan dan lemas akibat terhidu asap gas pemedih mata dirawat oleh paramedik lapangan,” katanya.

Pada petang Selasa, satu pertempuran telah berlaku di utara Semenanjung Gaza berhampiran sempadan maritim dengan Israel, menurut saksi yang menambah bahawa kira-kira 2,000 penunjuk perasaan menyertai bantahan di kawasan itu.

Ia merupakan sebahagian daripada tunjuk perasaan mingguan anti-Israel yang bermula pada 30 Mac lepas bagi mendesak Israel menghentikan sekatan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007.

Para pegawai Kementerian Kesihatan Gaza berkata sejak 30 Mac 2018, tentera Israel telah menembak dan membunuh lebih 250 penunjuk perasaan serta mencederakan kira-kira 26,000 yang lain, dengan kira-kira 40 peratus daripada mereka cedera akibat terkena peluru hidup.

— BERNAMA