Malaysia Dateline

Lima portfolio baharu dalam Exco Selangor

Sebanyak lima portfolio baharu anggota Exco diwujudkan dalam rombakan portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor berkuatkuasa hari ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, memberitahu, portfolio baharu itu ialah Pembudayaan Inovasi & Smart Selangor (nama asal: Sains, Teknologi dan Inovasi; ditambah komponen baharu Smart Selangor), Pengurusan Bencana, Pemberdayaan Pekerja, Perpaduan serta Industri Halal.

Senarai portfolio baharu itu menyaksikan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembudayaan Inovasi & Smart Selangor serta Pengurusan Bencana disandang oleh Amirudin; Pemberdayaan Pekerja (Ganabatirau a/l Veraman); Perpaduan (Dr Siti Mariah Mahmud); dan Industri Halal (Mohd Zawawi Ahmad Mughni).

“Susulan pelantikan dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baharu pada 17 September lalu, saya telah meneliti dan sukacita mengumumkan rombakan portfolio serta struktur baharu MMKN Selangor, berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua Ahli MMKN baharu terbabit, Borhan Aman Shah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi, serta Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan, manakala Mohd Zawawi pula Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam; Hal Ehwal Pengguna; serta Industri Halal.

Dalam pada itu, beliau berkata, dua portfolio sedia ada dijenamakan semula bagi tujuan cakupan lebih meluas.

Portfolio tersebut ialah Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar (nama asal: Perumahan & Kehidupan Bandar) dan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam (nama asal: Kesihatan).

Sementara itu, rombakan kecil dilakukan dengan Rodziah Ismail sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan & Kesejahteraan Bandar, serta Pembangunan Usahawan.

Seterusnya, Hee Loy Sian (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan; Alam Sekitar & Teknologi Hijau; serta Hal Ehwal Orang Asal), dan Ganabatirau (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosioekonomi; Kebajikan Masyarakat; serta Pemberdayaan Pekerja).

“Besarlah harapan saya agar penstrukturan ini dapat memanfaatkan seluruh warga Selangor melalui khidmat bakti terbaik ke arah merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama,” jelas Amirudin lagi.