Malaysia Dateline

Lima sebab mengapa mesti memilih Pakatan Harapan

Masa untuk para pengundi Tanjung Piai memilih telah tiba. Masa untuk mencogak dan berkira-kira sudah berakhir.

Saya merumuskan LIMA sebab utama mengapa para pengundi Tanjung Piai dan rakyat Malaysia patut terus memilih Pakatan Harapan dan menolak Barisan Nasional.

1. Penolakan rakyat terhadap Kerajaan BN pada 9 Mei 2018 adalah real, pilihan seantero rakyat, menolak kerajaan korup BN yang mencuri harta rakyat, menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan kronisme seperti mana kes 1MDB yang terbukti ada prima facie.

Tatkala pemimpin BN terpalit dengan rasuah, mereka dijulang sebagai bosku, berbangga dengan penyelewengan lalu. Tidak ada peluang kedua bagi golongan seperti ini. Malahan, kembali kepada BN bermakna kembali kepada rasuah yang menghancurkan.

2. Pakatan Harapan diamanahkan rakyat untuk membersihkan negara daripada penyelewengan besar-besaran dan membuat reformasi institusi. Tugas ini tidak boleh dilakukan dalam setahun dua, kerana sekala kerosakan, rasuah dan hutang negara yang besar selain reformasi institusi dan pembinaan pasukan tenaga kerja memerlukan masa dan kesabaran.

Kerajaan Pakatan Harapan memang tidak sempurna tetapi PH telah membuktikan pencapaian 50% daripada manifestonya dalam tempoh tidak sampai dua tahun.

3. Konsep politik berasaskan kaum tajaan BN mungkin berguna pada peringkat awal pembinaan negara. Namun, generasi baharu Malaysia menolak politik kaum yang berasaskan sentimen dan isu kaum, seperti yang kita lihat saban hari, hanya kerana pemimpin mahukan kesetiaan ahli. Ia membesarkan syak wasangka dan kebencian sesama rakyat. Pengagihan sumber berasaskan konsep “orang kita” semata-mata tanpa merit harus ditolak kerana inilah yang telah merosakkan UMNO.

Politik baharu harus memanggil dan menggembleng semua orang dengan pemberian berasaskan keperluan dan keutamaan. Politik baharu mesti membina negara berasaskan kepercayaan dan kebersamaan. Nampaknya, gagasan politik seperti ini lebih jelas digarap oleh Pakatan Harapan berbanding BN yang masih terbelenggu dengan nuansa kaumnya.

4. Agama dan iman adalah keperluan konstan dalam kehidupan termasuk dalam politik. Namun mempergunakan agama untuk mendapat pengaruh ahli seperti merobah-robah hukum untuk keperluan pemimpin adalah dilarang dalam agama. Lawan politik yang dahulunya haram disembahyang jenazahnya, kini wajib disokong partinya. Sebaliknya, sahabat yang puluhan tahun dalam parti agama kini dianggap munafik apabila keluar parti.

Ahli politik ekstrim ini terkeliru antara perbezaan pegangan politik dalam ruang yang dibenarkan dengan perbezaan akidah. Lebih malang apabila parti agama membuat hukum baharu untuk bersekongkol dengan BN yang terjebak dengan rasuah berskala besar. Kefahaman agama yang semakin baik telah menyebabkan rakyat menolak parti agama yang melampau dan menggunakan agama ini.

5. Memilih Pakatan Harapan di Tanjung Piai bermakna memilih harapan untuk perubahan, pemulihan daripada kerosakan dan pembangunan semula Malaysia Baharu. Arwah Datuk Dr Mohd Farid bin Rafik adalah lambang komitmen, jiwa prihatin dan kerja keras seorang ahli politik yang berperibadi mulia dari Pakatan Harapan.

Legasi ini akan diteruskan oleh calon PH Haji Karmaine Sardini, seorang imam dan ahli profesional yang berkaliber. Tiada sebab yang kukuh untuk mengundi semula calon BN Datuk Seri Wee Jeck Seng. Partinya dan BN telah diberi peluang salama 60 tahun untuk melaksanakan amanah tetapi gagal sehingga ditolak oleh rakyat pada 9 Mei 2018 lalu.

Selamat mengundi kepada semua pengundi PRK Tanjung Piai. Undilah kepada komitmen untuk pembangunan Malaysia Baharu demi masa depan dan kegemilangan negara kita serta generasi akan datang.

*Penulis adalah berkelulusan bekas Pensyarah UiTM.