Malaysia Dateline

Syarat wajib jadi ahli politik berjaya di Malaysia

Semalam selepas selesai menyembahyangkan jenazah Prof Ya Mohd Hassan Shukur pakar ortopedik HUKM, saya berborak dengan seorang kawan, bekas pegawai tinggi kerajaan yang merupakan kawan baik Allahyarham. Topiknya perihal ahli politik negara ini.

Beliau merupakan seorang bekas pegawai kerajaan yang mementingkan integriti, tegas dan benci kepada rasuah dan penyelewengan, tidak tahu mengampu, mempunyai pandangan dan penelitian tersendiri terhadap sikap atau jalan-jalan untuk seseorang menjadi ahli politik di negara ini.

Menurutnya, sesiapa berminat untuk mencebur diri dalam politik kemudian berjaya menjadi orang besar hingga ke peringkat perdana menteri, tidak begitu susah sangat meletihkan diri berjuang bermati-matian. Ia hanya perlu melalui beberapa liku atau peraturan atau sistem bagi melengkapkan diri mereka mencapai usaha itu.

Peraturan atau pandangan ini dijadikan syarat memandangkan soal integriti, kelayakan, wibawa, pengalaman dan karismatik serta track record seseorang itu bukan syarat penting untuk jadi pemimpin di negara ini.

Perkara itu semua tidak termasuk dalam syarat-syarat atau pun kriteria yang dilihat dan dihitungkan oleh rakyat ini untuk meletakkan mereka (politis) ke persada tertinggi hingga ke kerusi Perdana Menteri.

Lantaran itu beliau menyimpulkan ada beberapa syarat-syarat wajib untuk berjaya dalam politik negara ini seperti berikut:

1. Mesti mempunyai wang yang banyak.

Dengan wang ia boleh membeli pengikut, penyokong, dan juga jawatan. Untuk menperolehi wang banyak kalau anda seorang mempunyai kuasa, gunakan kuasa itu untuk menerima rasuah. Tipu mana-mana agensi kerajaan dan sebagainya. Jangan dalam digit kecil tetapi biarlah puluhan juta atau bilion.

2. Jangan fikir soal moral dan maruah.

Tidak perlu rasa malu, terhina dan aib dengan soal maruah. Maruah dan moral tidak menjadi perhitungan bagi rakyat negara ini. Dalam pada itu, sedia untuk menebalkan muka, menebalkan telinga dan tahan dimaki hamun.

3. Mesti tahu dan pandai membodek dan mengampu.

Jangan peduli apa yang orang kata atau pun mengira apakah yang anda buat itu dicemuh orang ataupun tidak. Yang penting bodek dan ampu untuk menempatkan diri. Jika perlu tapu punggung seseorang nah lakukan. Dengan bodek dan ampu anda akan melintasi orang lain yang seharusnya berada di atas anda.

4. Prinsip dan idealisme juga tidak diperlukan.

Anda boleh dan sedia bersedia untuk melompat dan meninggalkan parti asalkan ia menjamin kerja atau jawatan untuk anda. Pedulikan soal idealisme. Tiru seperti mana Mustapa Mohamed lakukan dan sekumpulan katak-katak lain.

Selama ini, beliau dilihat seorang yang berperibadi baik, tetapi akhirnya bersedia meninggalkan parti untuk mengejar kedudukan. Jangan pedulikan kepada idealisme atau pun apa kata pengikut.

Pengikut boleh dijinak dan diasyikkan dengan beri janji kosong dan sedikit wang ringgit. Apa yang berlaku ke atas Mustapa itu membuktikan segala kemurnian dan integriti tidak diperlukan.

5. Anda juga tidak perlu mengaji tinggi.

Cukup setakat tahu mengeja, membaca dan mengira serta hafal sifir kali-kali dua hingga 12 sahaja. Untuk menampakkan anda seorang akademik dan cerdik, boleh beli sijil hingga ke Phd.
Boleh upah mana-mana pensyarah atau dekan merekmen anda mengambil PhD untuk memperolehi ijazah hingga ke doktorat. Cari pensyarah atau penyelia PhD yang sedia dirasuah, anda akan berjaya mendapat gelaran Dr.

6. Sementara untuk menampakkan anda perjuang Melayu dan agama, bercakaplah soal sejarah Melayu, tentang Hang Tuah yang tidak ada, cium keris dan pakai tengkolok atau samping.

Dan bagi memperlihat anda fakeh agama, hafallah satu potong dua hadith sambil menggunakan istilah Arab dalam bercakap dan berhubung. Janganlah lupa tahu sedikit tentang sirah Rasulullah dan sesekali pakailah minyak attar sambrin, letak kopiah atas kepala dan sangkut serban di bahu.

Insya-Allah, kalau syarat-syarat itu dipenuhi anda akan berjaya menjadi ahli politik hebat di negara ini sehingga mampu menjawat jawatan menteri hatta ke peringkat perdana menteri.
Sejarah dan individu tertentu sudah membuktikan kejayaan mereka dengan mengamal atau praktik syarat-syarat tersebut.