Lima teras, 60 kandungan Manifesto Pakatan Harapan akan dilancar esok

Lima teras, 60 kandungan Manifesto Pakatan Harapan akan dilancar esok

Pakatan Harapan (PH) mengariskan lima teras utama dalam merangka Manifesto Pakatan Harapan dalan tempoh lima tahun pemerintahan sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

Lima teras utama itu adalah meringankan beban kehidupan rakyat;Reformasi institusi pentadbiran dan politik;Merancakkan pertumbuhan ekonomi secara adil dan saksama; Mengembalikan status Sabah dan Sarawak berteraskan Perjanjian Malaysia 1963 dan; Membina Malaysia yang inklusif, moderate dan gemilang di mata dunia.

Satu sidang media pra pelancaran Manifesto Pakatan Harapan PRU14 telah diadakan di bangunan Parlimen hari ini yang dihadiri oleh sepasukan penulis manifesto.

Pasukan penulis manifesto PH ini diketuai Ketua Setiausaha Majlis Presiden PH Datuk Saifuddin Abdullah. Turut disertai oleh Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad; Pengarah Strategi PKR Dr Sim Tze Sin; Pengerusi Biro Strategi Bersatu Datuk Dr Rais Hussein dan;Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP Ong Kia Ming.

Pasukan ini telah mengambil masa lebih dari setahun untuk merangka satu rancangan komprehensif menyediakan sebuah manifesto setebal 200 muka surat itu untuk rakyat.

Manifesto PH ini  dijadualkan akan dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad bertempat di Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam jam 8 malam esok.

Menurut Saifuddin  yang tidak mahu mendedahkan  motto manifesto PH  berkata, ia merangkumi beberapa perkara antaranya untuk menegakkan perlembagaan,rukun negara, agenda reformasi, pendekatan maqasid syariah,urustadbir yang baik dalam sistem politik dan pentadbiran negara.

Kandungan manifesto ini juga dimaklumkan sebahagiannya adalah lanjutan kepada kandungan Buku Jingga yang mempunyai 33 muka surat ketika pembangkang di bawah Pakatan Rakyat (PKR,Pas dan DAP)  yang dilancarkan pada 2010.

Sim Tze Sin

Menurut Sim Tze Sin yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru, manifesto ini adalah sebuah rancangan yang konprehensif dari segi ekonomi, sosial, budaya dan  hubungan luar negara untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berada di landasan yang betul.

Manifesto PH ini dijanjikan amat berbeza dengan apa yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Katanya walaupun BN belum lagi mengumumkan secara rasmi manifesto tetapi melihat kepada manifesto BN pada PRU13 lalu, masih lagi banyak yang gagal dilaksanakan dan tidak komprehensif.

“Saya percaya manifesto PH lebih baik daripada apa yang akan ditawarkan oleh kerajaan BN yang memerintah hari ini,” ujarnya.

Beliau menerangkan mengenai lima teras dalam manifesto itu memberitahu mengenai visi dan aspirasi PH untuk rakyat.

“Kita mahu membantu meringankan beban kewangan rakyat. Kita tahu bawa ekonomi sangat penting dan Pakatan Harapan juga akan memberi fokus kepada ekonomi rakyat. Kita tidak seperti BN yang banyak memfokuskan kepada projek mega untuk kroni.

“Sejak lima tahun lalu institusi kerajaan telah dikawal oleh kerajaan yang memerintah dan pelbagai skandal menyebabkan masyarakat dunia hilang keyakinan terhadap institusi di negara ini.

“Selain itu kita tahu bahawa rakyat di Sabah dan Sarawak merasa kedudukan mereka terpinggir daripada apa yang dijanjikan dalam Perjanjian Malaysia 1963. Kita akan beri keadilan,memperbaharui status perjanjian dan pemusatan kuasa.

” Kita mempunyai rakyat yang sedia bekerjasama dan beraspirasi untuk membina Malaysia yang lebi baik,” ujarnya yang memperincikan sedikit intipati daripada lima teras manifesto PH itu.

Ong Ka Ming

Mekanisma  baru  salur dana politik antara manifesto

Dalam manifesto ini juga PH menjanjikan satu mekanisma baru akan diperkenalkan untuk menjadikan dana politik lebih telus kepada penyumbang dan parti dengan memperkenalkan sistem baru.

Menjelaskan perkara ini Ahli Parlimen Serdang Ong Kia Ming berkata, mekanisma akan dilaksanakan itu menjadikan sumbangan dana lebih telus kepada parti-parti.

“Kami mahu mereformasikan sistem lebih telus dari segi pembiayaan dana politik termasuk memperkenalkan cadangan memberi ‘state funding’ kepada semua parti politik.

“Kami juga akan memastikan sistem ini tidak akan mendedahkan mana-mana pihak yang memberikan dana kepada mana-mana parti politik,” ujarnya.

Beliau dipercayai berkata demikian merujuk kepada hasrat Kerajaan BN untuk menggubal Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA) walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan tidak mencadangkan ia dibentangkan di Parlimen sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU14) ini iaitu ketika Penggal keenam sidang dewan rakyat yang kini sedang berlansung.

Ia sekaligus mencantas pandangan beberapa NGO sebelum ini yang mendakwa PH menentang PDEA.

Pendekatan ‘maqasid syariah’  tadbir negara

Walaupun ada pihak tertentu yang memberikan pandangan bahawa sekiranya, PH tidak mempunyai polisi dan dasar-dasar Islam akan menjurus kepada kehilangan sokongan Melayu, namun pandangan ini disangkal Pakatan Harapan.

Dr Dzulkefly Ahmad

Dr Dzulkefly  menerangkan, salah satu manifesto PH adalah menjamin agama dan dasar Islam itu berada di tingkat tertinggi dalam pelbagai bidang sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Negara.

“Manifesto ini dirangka dalam bingkai yang terangkum apa yang dikatakan sebagai falsafah dalam pembangunan sebuah negara yang akan meletakkan ‘maqasid syariah’ matlamat yang tertinggi bagi membantu pembangunan negara yang akan memberi rahmat dan keadilan untuk semua rakyat negara ini.

“Kemuncak tugas sebuah kerajaan adalah memakmurkan bumi dan mensejahterakan rakyat.

“Keseluruhan manifesto ini kita telah mengkaji dan mendapati negara ini sudah semakin meleset kerana kepincangan dari segi kepimpinan, antaranya kekayaan negara ditadbirurus dengan culas dan tempang.

“Dengan pendekatan maqasid syariah ini meletakkan semula matlamat sebuah kerajaan itu kembalikan kepada sistem tadbirurus yang baik di setiap peringkat bukan sahaja dari segi eonomi, politik, sosial dan pelbagai institusi lagi.

“Ini adalah respon Pakatan Harapan dengan pendekatan ‘maqasid syariah’ itu yang akan diutamakan selain daripada melaksanakan “hukuman” sebagai jalan penyelesaian semata-mata,” ujarnya.

Sebelum ini  dalam Konvensyen Pakatan Harapan yang diadakan Januari lalu  telah mengumumkan akan  melunaskan 10 janji manifesto mereka dalam tempoh 100 hari sekiranya empat parti gabungan itu yang terdiri daripada PKR,DAP AMANAH dan Bersatu berjaya menumbangkan kerajaan Umno-BN.

Sebanyak 10 janji itu juga adalah sebahagian daripada 60  Manifesto Pakatan Harapan kepada rakyat yang akan dilaksanakan kelak.

Selain lima Iltizam Khas khusus untuk warga Felda, masyarakat kaum India, golongan wanita, golongan muda dan warga emas.

 

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS