Malaysia Dateline

Limkokwing tingkatkan perdagangan, pelaburan melalui pendidikan

Limkokwing University of Creative Technology (Limkokwing) menubuhkan Pusat Kepimpinan Pelaburan Komanwel di kampusnya di sini  bagi  menggalakkan  perkembangan perdagangan dan pelaburan melalui pendidikan.

Naib presidennya (Pembangunan Jenama, Kreativiti dan Bakat) Datuk Tiffanee Marie Lim berkata sebagai satu-satunya universiti Malaysia yang mengeksport pendidikan, Limkokwing  boleh  menjadi penghubung antara negara Komanwel bagi meningkatkan kemampuan ekonomi, terutama dalam kalangan golongan muda.

Menurut beliau, pengasas dan presiden universiti itu, Tan Sri Lim Kok Wing dipilih sebagai penerima Anugerah Pejuang Komanwel kerana kejayaan beliau menyatukan belia dari 53 negara melalui penididkan dan dilantik menjadi pengerusi Majlis Perusahaan dan Pelaburan Komanwel (CWEIC).

“Dengan wujudnya 14 cawangan Limkokwing di negara Komanwel, kami yakin hubungan sedia ada mampu menarik banyak pemegang kepentingan untuk bersama-sama membantu membangunkan ekonomi di semua negara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas upacara perasmian pusat itu oleh  pengerusi CWEIC  Lord Marland.

Sementara itu, Marland berkata CWEIC gembira dapat  bekerjasama  dengan  Limkokwing  kerana universiti berkenaan mendapat pujian antarabanga kerana inisiatifnya dalam membina kemampuan insan serta meningkatkan persefahaman merentasi budaya.

“Setelah berjaya menyatukan belia melalui pendidikan, kami percaya  Limkokwing  mampu  membangunkan ciri keusahawanan dalam kalangan anak muda  melalui  Pusat  Kepimpinan  Pelaburan  Komanwel yang baru dilancarkan ini,” katanya.

— BERNAMA