Malaysia Dateline

Linangan air mata bukan dibuat-buat, ia cetusan ikhlas seorang menteri, kata MP BN

Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

Ahli Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyifatkan suara serak dan linangan air mata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub ketika membaca surat yang diserahkan seorang petani pada Majlis Pelancaran Hala Tuju kementeriannya pada Khamis lalu, bukan dibuat-buat.

Beliau yang menonton vide berkenaan berulang kali secara jujur menyatakan ianya cetusan ikhlas daripada seorang menteri sekali gus menafikan respon netizan yang menganggap ia lakonan kosong semata-mata.

“Walaupun ramai mengandaikan ia tidak lebih seperti sebuah lakonan cereka, Namun saya menganggap ianya cetusan hati ikhlas seorang Menteri.

“Hakikatnya, surat Wak Ibas mewakili naluri hati rakyat. Kesusahan hidup para nelayan bukan gurauan. Kerumitan hidup para petani, peladang, penternak – bukan mainan.

“Derita sebahagian peneroka FELDA dan FELCRA, bukan lakonan. Menteri mengambil risiko cukup besar jika perkara begini mahu disandiwarakan.

“Kalau tangisan Menteri itu mahu kita isbatkan dengan kesusahan rakyat; golongan petani, penternak, peladang dan nelayan mungkin masih punya harapan,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru beliau mendoakan agar Menteri Pertanian mampu “bersuara” lebih lantang di dalam kabinet yang seperti tidak mempedulikan kesusahan rakyat.

Bahkan katanya, Menteri Pertanian mesti berani menyanggah langkah penjimatan yang membebankan rakyat dan jangan sekadar menangis lagi tetapi menaruh iltizam tinggi untuk memperjuang maslahat rakyat.

“Berbeza jalur politik jangan sampai kita menghina usaha yang baik. Ramai lagi mereka yang susah dan menderita kerana kelemahan ikhtiar kerajaan.

“Suara mereka mesti dibela. Bukan dengan tangis duka semata mata – tapi dengan suara lantang menidakkan keputusan yang mendatangkan luka,” katanya.

Salahuddin dilaporkan menangis ketika membaca surat yang diserahkan wakil petani dari Pertubuhan Peladang Kawasan Sungai Besar, Ibas Hamud atau mesra dipanggil Wak Ibas, 77, ke tangan Salahuddin sebagai gimik pelancaran hala tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Surat tersebut merupakan luahan rasa kebimbangan para petani serta nelayan di kawasan tersebut berikutan pemotongan elaun sara diri golongan itu.

Menurut Salahuddin, walaupun surat yang diserahkan Wak Ibas hanyalah gimik pelancaran tetapi isi kandungan surat tersebut adalah luahan sebenar golongan berkenaan.

Salahuddin juga turut berharap agar tuhan memeliharanya untuk membawa amanat itu supaya nasib golongan seperti Wak Ibas ini dapat diubah dan tidak membiarkan mereka terus berada di dalam tampuk kemiskinan.