Lindungi buruh asing daripada agen penghisap darah, kata MP Kepong

Oleh MALAYSIADATELINE

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, kerajaan perlu menghentikan penggunaan agen swasta untuk merekrut buruh asing sebaliknya menggunakan pendekatan ” kerajaan dengan kerajaan” menerusi perjanjian dua hala.

Ia kata beliau, bagi menggelakkan warga asing ini daripada sering dieksploitasi secara tidak beretika.

Menurut Lim Lip Eng, beliau menerima banyak aduan daripada rakyat Malaysia yang prihatin mengenai nasib yang menimpa warga pendatang di negara ini yang dibuli oleh agen-agen penghisap darah dan dijadikan tebusan oleh pihak berkuasa.

Kata beliau, menurut mereka, pekerja asing ini dibayar gaji sebanyak RM1,800 sebulan dan gaji dibayar menerusi agen yang mengambil RM800 sebagai komisyen setiap bulan.

“Pekerja ini hanya membawa pulang RM1,000 setiap bulan selepas dipotong RM800 sebagai komisyen oleh agen.

“Bukanlah suatu perkara yang asing apabila pekerja asing perlu membayar pelbagai yuran sebelum datang ke Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu beliau menyeru supaya penggunaan agen-agen swasta dihentikan yang mengakibatkan pekerja asing perlu membayar pelbagai yuran, sementara agen-agen ini membuat banyak keuntungan.

Tambah beliau, pengurusan pekerja asing perlu berada di bawah Kementerian Sumber Manusia, bukannya Kementerian Dalam Negeri.

“Kementerian Dalam Negeri masih bertanggungjawab mengenai keselamatan dan pengeluaran visa. Kementerian Sumber Manusia perlu bertindak sebagai agensi utama membawa masuk pekerja asing kerana mereka mempunyai idea yang lebih baik mengenai keperluan buruh Malaysia,” tambahnya.

“Keduanya, semua tahu bahawa buruh asing menjadi subjek pemantauan berterusan oleh pelbagai agensi penguat kuasa.

“Setiap hari mereka ini berhadapan dengan ugutan. Mereka bukan penjenayah, hanya memerah keringat mencari rezeki untuk keluarga mereka di negara mereka,” katanya.

Ujarnya, kerajaan mesti mengumumkan secara berteusan dan memberi amaran kepada agensi-agensinya bahawa hanya Jabatan Imigresen boleh menghentikan dan meneliti warga asing dalam keadaan normal.