Malaysia Dateline

Lindungi kebajikan pekerja sektor ekonomi gig

Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir menegaskan kerajaan perlu melihat penambahbaikan terhadap pekerja ekonomi gig yang turut terdedah dengan risiko kemalangan yang tinggi.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia itu berkata, usaha mengekang risiko amalan monopoli serta memperkemas inisiatif semasa dengan mengkaji Akta Persaingan Ekonomi 2010 harus dimulakan.

“Kerajaan juga perlu memainkan peranan lebih proaktif bukan sahaja bagi memberdaya ekonomi gig, bahkan turut perlu menjadi sistem sokongan dalam memastikan industri ini mampu memberi perlindungan sebaiknya kepada pekerja-pekerja yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, hal tersebut perlu diletakkan sebagai sebahagian daripada keutamaan kerajaan untuk disegerakan bagi melindungi pekerja ekonomi gig.

“Saya menyambut baik pandangan Nurul Izzah Anwar dan YB Wong Chen sewaktu forum webinar dengan topik “Policy Monday: Labour Market Trends – Gig Economy” yang meluahkan kerisauan mereka terhadap situasi semasa yang dilihat berpotensi membuka ruang monopoli sesetengah pihak dengan merujuk kepada platform seperti Grab.

“Ini secara tidak langsung akan menyuburkan sistem ekonomi secara kapitalisme yang membuka ruang sepenuhnya kepada pihak-pihak pemodal untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka tanpa diganggu oleh kerajaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, tambah Akmal, kerajaan wajar melaksanakan kajian susulan terhadap Akta Persaingan 2010 bagi memastikan tiada kelompongan yang boleh dimanipulasi oleh pemain industri untuk tujuan monopoli dalam perniagaan.