Malaysia Dateline

Lindungi pendatang untuk mereka dapatkan suntikan vaksin, pinta JK PH

Kerajaan disaran untuk mengeluarkan satu polisi komprehensif yang memberikan pengampunan (amnesty) atau perlindungan kepada pendatang tanpa dokumen untuk keluar dari tempat mereka dan mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Jawatankuasa Imunisasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) berkata, kerajaan perlu menyediakan jalan alternatif atau “lokasi berkecuali” bagi kumpulan itu untuk divaksin, termasuk di tempat kerja mereka atau klinik komuniti yang dikendalikan oleh NGO, yang biasanya dikunjungi penduduk migran.

Ini katanya, merupakan langkah yang perlu dilakukan jika kerajaan ingin mencapai 70 peratus populasi rakyat dalam negara menerima vaksin.

“Polisi berkaitan pengampunan terhadap pendatang ini diperlukan untuk membina kepercayaan dalam kalangan komuniti pendatang tanpa dokumen, memandangkan peningkatan kes penangkapan migran tahun lalu.

“Kerajaan telah berjanji tiada tindakan yang akan diambil jika mereka tampil untuk diuji. Namun, tindakan tersebut menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan masyarakat ini dan jika tidak ditangani dengan tepat, mereka tidak akan bersedia untuk divaksinasi kerana takut “ditipu” lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut PH, perbuatan sedemikian tidak boleh diulangi kerana pendatang yang tidak berdokumen ini terutama pelarian, pencari suaka dan mereka yang menunggu maklum balas dari Jabatan Imigresen mengenai status pengesahan mereka, juga harus diberi vaksin.

Katanya, jika tidak melibatkan kumpulan tersebut sebagai penerima vaksin, imunisasi sehingga 70 peratus populasi tidak akan dapat dicapai dan virus Covid-19 akan terus merebak dalam masyarakat.

“Itulah sebabnya dasar itu mesti jelas, komprehensif dan dibuat hitam putih agar kita dapat menangani masalah ini dengan berkesan.

“Kerajaan harus bekerjasama rapat dengan Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) dan organisasi masyarakat sivil untuk membantu mencari pelarian dan pendatang tanpa dokumen untuk divaksin,” katanya lagi.