Liputan langsung Himpunan Syukur ICERD #812

Liputan langsung Himpunan Syukur ICERD #812

4.50 petang: Himpunan diakhiri dengan bacaan ikrar dan doa. Penyokong mula keluar dari kawasan perhimpunan selesai doa dibacakan kerana hujan renyai mulai turun seusainya ucapan Presiden Pas, Datuk Seri Abdil Hadi Awang.

4.30 petang: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika memulakan ucapan mengajak penyokong bangun menunjukkan bendera apabila dakwanya himpunan diadakan hanya 50,000 tidak tepat tetapi beliau yakin himpunan hari ini mencecah sasaran 500,000 orang.

Himpunan kali ini adalah simbolik kepada perasaan rakyat yang terusik untuk bersama berhimpun.

Katanya, semangat orang Melayu dan Islam semakin berwibawa dengan kerjasama Umno-Pas dan akan diterjemahkan dalam isu Islam dan Melayu.

Umno-Pas bukan gabungan politik tetapi rakyat harapkan kesatuan antara Umno dan Pas.

Beliau turut mendesak orang Melayu, Pas dan Umno bersatu.

Beliau turut bertanya sama ada penyokong sedia berhimpunan demi Melayu dan Islam tanpa mengetepikan bangsa dan agama lain.

Beliau turut berkata jika kerajaan meratifikasi ICERD, nasib pribumi Sabah dan Sarawak juga akan terjejas.

4.25 petang: Pengerusi Pembela Ummah Amiruddin Yahya berkata, orang Melayu pantang dicabar. Beliau berkata beliau pernah diugut kerana merancang mengadakan perhimpunan hari ini.

Beliau berkata amat berterima kasih kerana NGO bersama Umno dan Pas pada hari ini.

Beliau menyeru parti parti Melayu bersatu. Beliau turut melahirkan kekecewaan dengan keputusan PH untuk menamatkan Amanah Iktiar Malaysia (AIM).

4.20 petang: Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, ICERD perjanjian bukan masa depan untuk negara tetapi jika kita meratifikasi ia akan memberi kesan kepada generasi 50 tahun akan datang. Prinsip kita katanya, kita yakin Islam jamin kedaulatan semua kaum.

Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, amaran pertama negara luar tidak perlu campur tangan dalam negara.

Katanya himpunan hari ini untuk pertahan hak orang Melayu bukan membenci agama lain tetapi berhimpun kerana mempertahankan agama Islam.

Penyatuan dan kemenangan kita adalah Islam, kata beliau. Beliau mengajak penyokong sayangkan agama dan bangsa.

4.15 petang: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan berkata, jangan gundah gulana jika orang Melayu dan islam berkumpul bukan sahaja menolak ICERD tetapi juga boleh menolak PH.

Katanya, beliau duduk atas lori kerana sudah kalah hari ini. Perhimpunan hari ini adalah untuk kembalikan maruah Melayu dan Islam, untuk menyatukan semua.

Bila dua parti Melayu bersatu seperti kerjasama Umno-Pas kita boleh buat apa sahaja…sudah pasti PRU15 kita akan rampas Putrajaya, kata beliau.

Katanya lagi, formula kena dicari kerana orang hina Melayu dan Islam selepas kita hilang kuasa. Katanya demi masa depan orang Melayu dan Islam, Pas dan Umno sedia bekerjasama.

4.00 petang: Pengerusi Gamis, Faiz yang mewakili mahasiswa berkata, sekiranya PH membincangkan ICERD selepas perhimpunan kali ini, beliau yakin akan ada lagi perhimpunan besar-besaran akan diadakan di Putrajaya.

3.41 petang : Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Koordinator Himpunan berkata, PPB mahu mencabul kemerdekaan dengan meratifikasi ICERD di negara ini, untuk mengusai hala tuju negara dan bangsa di negara ini.

Beliau turut memberi amaran agar PM Tun Dr Mahathir Mohamad jangan jadi boneka kepada DAP.

Malah beliau mahu kerajaan kembalikan hak golongan petani, nelayan dan pelajar.

3.15 petang: Bekas Timbalan Pergerakan Wanita Umno, Datuk Kamalia mengajak rakyat pertahankan bangsa, agama dan perlembagaan yang mana tonggaknya ada orang Melayu beragama Islam.

Beliau terpanggil untuk hadir ke perhimpunan untuk tidak leka dalam membela negara. Beliau berkata, ICERD tidak perlu diratifikasi untuk tidak membenarkan rakyat negara ini dijajah oleh barat. Syukur pimpinan PH mahu ICERD ditolak jika tidak lebih banyak perhimpunan diadakan selepas ini.

2.46 petang : Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba di pentas utama di Dataran Merdeka disambut dengan laungan Takbir Allahuakbar dalam kalangan penyokong.  Abdul Hadi disambut Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk naik ke pentas.

Dalam kalangan penyokong Bantah ICERD kini sudah mencecah 50,000 menurut ASP Roslan Ahmad. Keadaan mula menjadi tidak terkawal di laluan Masjid Jamek ke Dataran Merdeka apabila penyokong memijak pokok-pokok hiasan DBKL di tengah penghadang jalan sehingga pihak penganjur mengarahkan agar penyokong tidak melangkah pagar pembahagi jalan untuk menuju ke Dataran Merdeka.

2.15 petang: Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Dataran Merdeka dari arah Jalan TAR dengan sorakan Hidup Melayu daripada ahli gabungan Jaringan Melayu dengan kibaran bendera Malaysia.

2.15 petang : Para peserta himpunan mula memenuhi Dataran Merdeka untuk mendengar amanat yang akan disampaikan oleh pimpinan Pas, Umno dan NGO Islam. Program dijangka akan bermula jam 2 petang ini.

Ribuan memasuki jalan raya di hadapan Dataran Merdeka. Penganjur memberitahu mereka untuk duduk kerana tidak ada lagi ruang untuk berjalan. Sebuah helikopter polis dilihat berlegar di udara.

The Star melaporkan kira-kira 5,000 pelajar di seluruh negara akan menyertai perhimpunan ini kerana tidak berpuas hati terhadap skim potongan gaji berjadual bagi bayaran semula pinjaman PTPTN.

“Kami tidak berpuas hati dengan perkembangan terkini di PTPTN,” kata presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Faizuddin Mohd Zai.

Portal itu juga melaporkan kebimbangan mengenai isu keselamatan dan penutupan jalan berikutan perhimpunan itu menyebabkan banyak perniagaan di kawasan itu ditutup hari ini.

 

Persatuan Kucing Merah yang turut berhimpun menyatakan hak mereka

1.33 petang:  Unit Amal PAS mengerahkan 2,000 petugasnya untuk mengawal keadaan semasa perhimpunan itu, menurut Harakah Online.

Pengarah Unit Amal Mohd Nazree Mohd Aris berkata 400 daripada mereka akan mengawal lalu lintas di kawasan sekitar, 190 akan mengawasi keperluan perubatan manakala selebihnya akan mengendalikan keselamatan dan mencegah provokasi.

 

Perhimpunan di anjuran Ngo Melayu Islam dan disokong oleh Umno dan Pas di jangka dihadiri ribuan orang yang memenuhi jalan-jalan di Kuala Lumpur dan kemudian akan bergerak ke Dataran Merdeka.

Himpunan ini sebagai tanda kesyukuran keputusan kerajaan untuk tidak mengiktiraf Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Mereka yang hadir berkumpul di tiga lokasi – pusat beli-belah Sogo, Masjid Jamek dan Masjid Negara. Mereka akan berarak ke Dataran Merdeka. Himpunan itu akan bermula pada jam 2 petang ini dan dijangka selesai pada jam 6 petang.

Sehingga kini, mengikut anggaran pihak polis yang berada di Masjid Negara, sekitar 4,000 penyokong hadir dalam perhimpunan anti-Icerd hari ini. Rata-rata yang hadir terdiri dari pelbagai peringkat umur, tua dan muda dengan memakai t-shirt berwarna putih atau dengan tulisan “Bantah Icerd”.

Pihak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dilihat bersiap sedia di Jalan Parlimen. Sekurang-kurangnya satu trak meriam air, sebuah bas dan lima trak yang penuh dengan anggota polis FRU dilihat ditempatkan di depan rumah kedai berhampiran kelab akhbar Jalan Parlimen.

Pihak polis menasihatkan peserta perhimpunan supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi.