Malaysia Dateline

Lissek harap Malaysian Tigers layak ke Olimpik Tokyo 2020

Bekas jurulatih negara, Paul Lissek, menyimpan hasrat untuk melihat skuad hoki lelaki negara berentap dengan pasukan gergasi dunia pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Jurulatih veteran kelahiran Jerman, yang pernah membimbing skuad Malaysian Tigers dari tahun 2000 hingga 2003, berkata walaupun Malaysia berdepan laluan berliku memburu tiket ke Sukan Olimpik namun beliau percaya skuad negara dapat layak dengan hasil program pembangunan yang dilaksanakan.

“Bukan mudah untuk layak ke Olimpik tetapi saya harap Malaysia dapat membuktikan sekali lagi dengan hasil kerja yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran jersi Kelab Hoki Matador,semalam.

Bagi memburu tiket ke Olimpik, skuad negara perlu menduduki dua tangga teratas pada Kejohanan Siri Final Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) melibatkan lapan negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini pada April ini dan diikuti dua perlawanan play-off di gelanggang lawan.

Lissek, yang pernah membimbing pasukan Jerman merangkul emas Sukan Olimpik pada 1992 dan tiga kejuaraan Eropah pada 1991, 1995 dan 1999, mengakui beliau bangga melihat kemajuan sukan hoki di Malaysia.

Jurulatih berusia 71 tahun itu, yang bertindak sebagai perunding kelab Matador, berkata beliau gembira untuk melihat perkembangan pemain-pemain berbakat dalam skuad negara seperti Muhammad Razie Abdul Rahim.

Sementara itu, kelab Matador diasaskan pada 2017 dan terajui oleh seorang ahli perniagaan, Sarwan Singh dengan tujuan menyediakan platform bagi mengasah bakat kanak-kanak dalam sukan tersebut.

Sejumlah 44 kanak-kanak diberi tunjuk ajar oleh bekas pemain Olimpik negara seperti Sarjit Singh, Maninderjit Singh, bekas pemain antarabangsa, Balbir Singh, M. Nadarajah dan Baljit Singh Charun.- BERNAMA