Malaysia Dateline

Liwat pelajar Tahfiz: Mufti WP kemuka empat solusi, seru rakyat henti timbulkan polemik

Semua masyarakat diseru agar menunggu keputusan yang bakal diputuskan oleh mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang bentuk spekulasi yang bakal menimbulkan polemik yang lebih besar, kata Mufti Wilayah Persekutuan.

Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataannya berkata, institusi tahfiz sewajarnya dihormati dan kesalahan individu tidak wajar dikaitkan dengan institusi berkenaan.

” Jangan kerana ‘Marahkan nyamuk, kelambu dibakar’ dengan membina persepsi dan spekulasi terhadap institusi berkenaan hanya menyuburkan bibit Islamofobia yang sepatutnya tidak berlaku di negara umat Islam berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia,” ujarnya dalam status dimuat naik dalam facebook.

Dr Zulkifli turut memberikan beberapa cadangan yang boleh dipertimbangan dalam memperkemaskan urus tadbir institusi pendidikan tahfiz di negara ini:

i. Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (Pinta) hendaklah terus diperkasakan.

ii. Cadangan YB Puan Fuziah Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi pendaftaran Ma’ahad Tahfiz (yang tidak berdaftar) adalah satu cadangan yang wajar dipandang serius.

iii. Pemantauan berkala urustadbir dan kebajikan pelajar Ma’ahad Tahfiz di setiap kawasan dijalankan oleh Ahli Parlimen kawasan.

Menurut Dr Zulkifli lagi, beliau berharap semua pihak dapat menggunakan kebijaksanaan akal dan ilmu bagi mendepani isu seperti ini supaya tidak terpandu oleh emosi yang mengatasi simpati dan empati.

“Keadilan adalah selama-lamanya tunjang yang utuh dalam Islam walaupun terhadap individu yang dibenci. Firman Allah SWT: dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Surah al-Ma’idah: 8)

“Sejujurnya kita akui bahawa institusi tahfiz seperti mana-mana insitusi pendidikan yang lain, ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Kami amat menyayangi para guru, pentadbir dan pelajar-pelajarnya.

” Justeru perlu Kita letakkan sepenuh kepercayaan kepada mahkamah. Semoga mendung ini bakal berlalu dan menghadirkan sinar kecemerlangan buat institusi tahfiz di Malaysia,” katanya.

Semalam dilaporkan seorang guru agama, yang merupakan pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Dalam kenyataan dipetik Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Yaacop berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan sehari selepas polis menerima laporan kes berkenaan yang dibuat oleh seorang guru lelaki pusat tahfiz berkenaan pada 13 September.

Beliau berkata perbuatan terkutuk pengetua tahfiz itu melibatkan pelajar berusia antara lingkungan 11 hingga 16 tahun.

Pelbagai kritikan dan pandangan diterima sehingga Menteri di Jabatan Perdana Menteri semalam dipetik berkata, mencadangkan agar sekolah tahfiz itu ditutup.

” Kami mengikuti perkembangan kes ini sejak dari awal penularan beritanya di media sosial, juga kes-kes sebelum ini.

“Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) sejak daripada dahulu sentiasa konsisten menentang sebarang bentuk manipulasi, penderaan, ketidakadilan dan penindasan kepada kanak-kanak di negara ini,” ujarnya.