Malaysia Dateline

Liwat tetap satu kesalahan jenayah, LGBT tak perlu kibar bendera kemenangan

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) berpendapatan, seks luar tabii tetap satu kesalahan jenayah walaupun ia tidak lagi terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Oleh itu, pihak-pihak berkenaan khasnya pejuang dan pengamal LGBT tidak perlulah mengibarkan bendera kemenangan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini.

Badan perundangan Ikram, Ikram Legal berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini sama sekali tidak menafikan hakikat bahawa perbuatan liwat atau seks luar tabii adalah tetap merupakan satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang Malaysia.

MARWAN ABDULLAH

Pengerusinya, Marwan Abdullah berkata, walaupun Mahkamah Persekutuan memutuskan “Persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii” sebagai satu kesalahan jenayah Syariah adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, perbuatan liwat telah pun diterima sebagai satu kesalahan jenayah.

“Ia dinyatakan dalam undang-undang negara ini sama ada ianya dilakukan secara sukarela atau tidak sepertimana yang boleh didapati dalam Seksyen 377A dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan,” kata beliau.

Bahkan, katanya, hukuman yang diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan tersebut adalah jauh lebih berat daripada hukuman yang diperuntukkan dalam Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun diikuti dengan sebatan sekali gus menunjukkan keseriusan undang-undang dalam menanganinya.

“Oleh yang demikian, IKRAM Legal menegaskan bahawa mana-mana kenyataan yang mengatakan bahawa keputusan ini adalah kemenangan buat komuniti LGBT adalah tidak berasas sama sekali,” kata beliau.

Malah, katanya, ajaran Islam telah pun menegaskan bahawa perbuatan liwat adalah merupakan satu perbuatan yang terkeji sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-A’raaf, ayat 80 – 81 seperti yang berikut:

“Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah Ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampau batas.”

Bagi beliau, dalam kes Iki Putra melawan kerajaan Selangor tersebut, penghakiman Mahkamah Persekutuan tersebut lebih menjurus kepada menjawab isu bidang kuasa bukannya berkenaan isu sama ada perbuatan liwat adalah merupakan satu kesalahan jenayah di sisi undang-undang negara atau tidak.

“Memandangkan bidang kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah adalah di bawah Senarai Persekutuan, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, maka Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa Badan Legislatif Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah, walaupun ianya adalah merupakan kesalahan terhadap perintah agama Islam (Offences against the precepts of Islam),” katanya.

Bagi beliau, Ikram Legal konsisten dengan pendiriannya menyeru masyarakat Malaysia untuk menentang sebarang usaha untuk membenarkan atau menormalisasikan liwat dan segala bentuk gaya hidup yang bertentangan dengan tabii termasuklah gaya hidup LGBT kerana ianya bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam dan agama-agama utama di dunia ini.

Malah, katanya, ia mampu merosakkan keturunan dan sistem kekeluargaan yang menjadi tunjang dalam pembinaan tamadun manusia.

“Memandangkan perbuatan liwat adalah merupakan kesalahan jenayah sivil, Ikram Legal menyeru agar pihak berkuasa yang berkenaan termasuklah pihak polis dan pendakwa raya untuk memberikan perhatian yang serius dalam membendung gaya hidup sebegini dengan membuat siasatan dan melakukan pendakwaan di Mahkamah Sivil agar ianya tidak menular dalam masyarakat,” katanya.

Ikram Legal juga mencadangkan pihak polis bekerjasama dengan pihak agama negeri, tanpa mengira negeri, dalam menangani isu-isu jenayah begini yang berkait rapat dengan agama Islam yang merupakan agama Persekutuan di Malaysia.

Mereka juga menggesa agar perbincangan demi perbincangan dapat terus dijalankan oleh pihak berkuasa khususnya antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri serta dengan para pemegang taruh.

Mereka termasuklah para ulama, para cendekiawan dan sarjana, ahli undang-undang dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkenaan penggubalan dan implementasi undang-undang kesalahan jenayah Syariah di negeri-negeri dan bahkan kemungkinan pelaksanaannya di peringkat persekutuan sekalipun bagi memastikannya ianya selari dengan Perlembagaan Persekutuan sedia ada.