Liyana Jasmay padam video joget minta duit raya, menyesal ikut ‘trend’ tanpa usul periksa

Oleh WAN SITI AMINAH

Pelakon, Liyana Jasmay mengambil tindakan memadam video dimuat naik olehnya ketika mengikuti trend popular di platform TikTok dengan berjoget untuk mendapatkan duit raya.

Liyana menerusi satu hantaran dimuat naik di Instagram Story mengakui menyesal kerana telah mengikuti trend tanpa sebarang usul periksa malah turut mengajak anak saudaranya untuk merakam video tersebut.

Pelakon berusia 37 tahun itu juga meluahkan rasa kesal kerana kurang peka dengan isu di sebalik tarian tersebut yang dikatakan cukup popular di dalam kalangan kaum Yahudi.

Dalam hantaran sama, Liyana yang juga bergelar penerbit dan ahli perniagaan itu turut berkongsikan satu rakaman memaparkan masyarakat Yahudi sedang berjoget dengan gerak tari serupa seperti trend popular tersebut.

“Saya merasa sangat-sangat merendah diri dan bodoh kerana telah melakukan trend ini bersama anak-anak saudara. Terus padam apabila ternampak video teguran itu (gerak tari sama dengan kaum Yahudi).

“Kepada rakan-rakan saya yang tidak mengetahui perkara ini, janganlah ikut trend popular di platform TikTok (tanpa usul periksa). Lebih baik saya buat (video) mukbang sahaja,” kesal Liyana Jasmay dalam hantaran itu.

Terdahulu, trend berjoget untuk meminta duit raya itu menjadi cukup popular ketika perayaan Aidilfitri di dalam kalangan masyarakat tempatan sehinggakan cukup ramai pengguna TikTok mengikutinya.

Orang ramai tanpa mengira umur dan jantina termasuk dalam golongan selebriti turut terpengaruh untuk membuat trend itu berikutan nadanya yang rancak dan menyeronokkan selain gerak tari sangat mudah ditiru.

Baca juga: Rupanya bukan ‘Negaraku’ tapi lagu negeri Perak, KPM kesal influencer sebar video tanpa usul periksa