Malaysia Dateline

LKAN 2016 Siri 2: Kerajaan Negeri P.Pinang perjelaskan ke mana ‘hilang’ RM73.61 juta

Kerajaan Negeri Pulau Pinang menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa sejumlah RM73.61 juta telah hilang atau disonglap Ketua Menterinya Lim Guan Eng.

Menurut kenyataan Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang Datuk Sarul Bahiyah Abu Bakar, dalam Laporan Audit Negara 2016 Siri2 juga tidak pernah menyatakan bahawa wang ini disonglap oleh mana-mana pihak ataupun hilang seperti digembar-gemburkan oleh pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Selain daripada mencatatkan hutang kerajaan negeri yang paling kecil dalam negara sebanyak RM66 juta iaitu pengurangan 90%, kerajaan negeri juga berjaya menambahkan aset rizab daripada RM 849 juta pada 2008 kepada RM 1,828 juta pada akhir 2016 iaitu kenaikan hampir RM 1 bilion.

“Laporan Audit menyatakan bahawa perbelanjaan pembangunan Kerajaan Negeri kurang memuaskan kerana walaupun sejumlah RM307.45 juta atau 88.8% direkodkan sebagai perbelanjaan tetapi sebanyak RM73.61 juta daripada jumlah perbelanjaan terlibat telah diselaraskan kepada Akaun Amanah Jabatan Kewangan Negeri (JKN),” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Melalui JKN itu ia telah membiayai projek-projek kerajaan negeri seperti:

i.Pinjaman RM70 Juta kepada PDC untuk tujuan membiayai kos pengambilan tanah dan pembangunan infrastruktur dalam menggalakkan pembangunan yang seimbang di kawasan Seberang Perai. Pinjaman yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri kepada PDC ialah pada “ceiling” atau tahap RM679 juta, di mana RM70 juta disediakan dalam bajet pembangunan tahun 2016 dan RM609 juta selebihnya dalam bajet pembangunan tahun 2017.

Memandangkan PDC sehingga pada akhir tahun kewangan 2016 tidak memohon pengeluaran pinjaman tersebut, maka amaun tersebut telah diselaraskan oleh Jabatan Kewangan Negeri(JKN) kepada Akaun Amanah JKN.

Ini bagi membolehkan pengeluaran pada tahun 2017 dan supaya tidak menjejaskan perancangan bajet pembangunan tahun 2017 nanti.
Bagaimanapun, pinjaman pertama RM70 juta kepada PDC telahpun dijelaskan oleh PDC pada 23 Ogos 2017, dan kini sifar tanpa sebarang pinjaman yang dihutang kepada JKN kerajaan negeri.

ii. Jumlah RM3.61 juta selebihnya yang diselaraskan kepada Akaun Amanah JKN ialah untuk pembiayaan 24 projek kecil yang merangkumi projek-projek Penyelenggaraan Perumahan Maksima 80:20 bagi perumahan swasta kos rendah dan sederhana rendah, projek arkeologi Guar Kepah dan pembiayaan program-program pendidikan. Daripada 24 projek terlibat, 12 projek telah dapat disiapkan setakat ini dalam tahun semasa 2017 dengan jumlah perbelanjaan RM637,821.51. 12 projek selebihnya adalah dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Terang Sarul Bariyah lagi, Jabatan Kewangan Negeri juga ingin mengesahkan kenyataan Guan Eng, bahawa premium tanah dalam akaun amanah JKN bukanlah hanya premium penjualan tanah tetapi juga merangkumi premium tukar syarat tanah dan premium melanjutkan tempoh pajakan tanah kepada 99 tahun.

“Memang benar sejak 2008, premium tanah hasil penjualan tanah kerajaan negeri adalah RM939 juta.

“Daripada jumlah hasil jualan tanah ini iaitu sebanyak RM939.2 juta, RM500 juta perlu diberikan kepada PDC untuk Tabung Perumahan Awam dan Mampu Milik untuk membina rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik kepada golongan bawah.

“Ini menjadikan jumlah hasil jualan tanah kerajaan negeri sebenarnya di bawah kerajaan negeri hanya RM439.32 juta atau 10.4% daripada jumlah keseluruhan hasil negeri sebanyak RM4.22 bilion. Perlu disebutkan jumlah terkumpul lebihan Belanjawan atau keuntungan(surplus) kerajaan negeri sejak 2008 adalah RM667 juta,” terang.

Pada Jumaat menerusi kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dipetik berkata, menurut LKAN 2016 Siri2, sebanyak RM346.12 juta diperuntukkan untuk melaksanakan 2,868 projek namun kerajaan negeri pimpinan DAP melaporkan hanya RM307.45 juta atau 88.8 peratus telah dibelanjakan.

Beliau mempersoalkan Kerajaan negeri Pulau Pinang perlu menjelaskan mengapa 32.4 peratus peruntukan pembangunan tidak dibelanjakan seperti terkandung dalam Laporan Ketua Audit bagi penyata kewangan kerajaan Pulau Pinang 2016.

LKAN mendedahkan RM73.61 juta dipindahkan dari Vot Pembangunan ke Akaun Amanah Jabatan Kewangan Negeri dan dianggap telah dibelanjakan dan hanya 67.6 peratus peruntukan pembangunan telah dibelanjakan pada 2016

Baca: Umno P.Pinang persoal peruntukan pembangunan tidak dibelanjakan