LKAN Siri 2 Melaka: Dedah pengurusan tidak cekap punca bekalan air tercemar

LKAN Siri 2 Melaka: Dedah pengurusan tidak cekap punca bekalan air tercemar

Ahli Parlimen Bukit Katil Shamsul Iskandar Mohd Akin mendesak Syarikat Air Melaka Berhad dan agensi pemantauan kualiti air di negeri itu mendedahkan bacaan ujian kualiti air semenjak Januari 2017.

Beliau merujuk kepada Laporan Ketua Audit Negara 2016 Siri 2 bagi negeri Melaka yang telah dikeluarkan semalam, telah mendedahkan, di mana bekalan air mentah di empangan Melaka, terutamanya di Durian Tunggal dan Jasin didapati telah tercemar.

Terdapat satu lagi pendedahan dalam laporan tersebut mengenai pengurusan kawal selia air oleh Badan Kawal Selia Air (BKSA), Jabatan Ketua Menteri Melaka, pihak yang bertanggungjawab memantau kualiti air mentah di Negeri Melaka adalah tidak memuaskan kerana pengurusan kuantiti dan kualiti sumber air mentah tidak dilaksanakan secara cekap dan berkesan serta gagal memenuhi objektif ditetapkan oleh BKSA sendiri dalam membekalkan air mentah yang mencukupi dan berkualiti baik.

“Saya bimbang sekiranya terdapat kandungan bahan kimia yang tinggi akan menjejaskan kesihatan kepada rakyat di dalam jangka masa yang panjang.

“Saya juga ingin mengajukan beberapa persoalan kepada Datuk Seri¬† Ir. Idris Haron, sebagai Ketua Menteri Melaka yang sering mendabik dada negeri Melaka adalah Negeri berteknologi hijau.

“Bagaimana kerajaan negeri culas terhadap ketidakcekapan pengurusan kualiti bekalan air di negeri Melaka? Mengapa tidak ada pemantauan terhadap kualiti air mentah oleh BKSA?

“apakah kerajaan masih ingin mengatakan bekalan air mentah di Melaka masih bersih dan selamat untuk digunakan ?,” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Susulan pendedahan itu Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Melaka berkata, kerajaan perlu menjawab persoalan-persoalan di atas bagi menangani masalah bekalan air mentah yang tercemar dan kotor.

“Rakyat Melaka berhak mendapatkan penjelasan kerana mereka adalah pengguna utama air di Melaka.

“Kegagalan kerajaan negeri bertindak segera terhadap isu ini pastinya mengundang keresahan rakyat Melaka mengenai kualiti air minuman mereka,” ujarnya.

Beliau berkata satu pendedahan telah dibuat oleh Jabatan Ketua Audit Negara menerusi laporan tersebut tentunya amat membimbangkan rakyat Melaka kerana kualiti bekalan air terjejas dan tercemar akan mengakibatkan kerosakan bukan sahaja kepada alam sekitar malah akan menimbulkan masalah kesihatan kepada pengguna air di negeri Melaka terutamanya air untuk tujuan minuman.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES