LKIM belanja hampir RM12 juta bayar elaun sara hidup nelayan Terengganu

LKIM belanja hampir RM12 juta bayar elaun sara hidup nelayan Terengganu

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membelanjakan hampir RM12 juta untuk bayaran Elaun Sara Hidup kepada 4,140 orang nelayan aktif di Terengganu tahun lalu, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata daripada jumlah itu, RM144,550 diperuntukkan kepada 510 nelayan dari daerah Besut.

“Dengan bantuan ini, ia mampu meringankan beban masyarakat nelayan. Hari ini juga lapan nelayan di daerah Besut menerima faedah dari Skim Perlindungan Takaful LKIM yang disertai mereka dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM47,000 untuk pelbagai tuntutan.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM200,000 kepada 1,530 orang nelayan di Terengganu bagi pengagihan jaket percuma kepada mereka. Ini adalah tambahan kepada jaket keselamatan yang telah diagihkan kepada 2,400 nelayan bagi zon A dan B yang berjumlah RM300,000. Ada juga permintaan nelayan zon C dan kita akan cuba pertimbangkan, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai Persatuan Nelayan Kawasan Besut di sini hari ini. Turut hadir Pengarah LKIM, Zawahid Shamsudin

Dalam perkembangan lain, Muhammad Pehimi yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu berkata bahawa kerajaan pusat juga telah meluluskan peruntukan RM250,000 untuk pembinaan tukun tiruan di perairan negeri ini.

“Saya berterima kasih dengan peruntukkan yang telah diluluskan oleh kerajaan pusat baru-baru ini di mana ia adalah satu daripada usaha untuk meningkatkan hasil tangkapan nelayan di negeri ini. Bila hasil meningkat, pendapatan nelayan juga turut bertambah.

Bajet negeri yang dibentang tahun lalu juga telah meluluskan RM250,000 menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak RM500,000 untuk pembinaan tukun yang akan dilabuhkan di perairan Besut pertengahan tahun ini. Cuma tempat yang spesifik akan ditentukan oleh kerajaan negeri dengan bantuan Jabatan Perikanan dan Persatuan Nelayan Kawasan, katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Besut, Tengku Harun Ismail berkata masyarakat nelayan menghargai usaha kerajaan memperkenalkan pembayaran elaun berkenaan.

Seorang penerima elaun , Azuar Ismail, 46 berkata walaupun jumlahnya tidak banyak tapi sudah cukup untuk meringankan beban kehidupan mereka sekeluarga.

“Pendapatan saya tidak menentu macam orang lain..ada hari banyak ada hari sikit. Tapi adanya bantuan ini memang membantu kita terutamanya kalau beli barang-barang keperluan utama.

“Syukur alhamdulillah, kami dapat elaun sebanyak RM900 untuk tiga bulan tidak turun ke laut, ini dianggap satu nikmat. Kecil bagi orang lain..tapinbesar bagi kami,” katanya.