LKIM berhasrat kerajaan akan terima cadangan bina kuarters kakitangan

LKIM berhasrat kerajaan akan terima cadangan bina kuarters kakitangan

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berhasrat untuk menyediakan kuarters kepada kakitangan agensi itu di atas tanah miliknya di Wisma LKIM, Pulau Meranti, Puchong, Selangor.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata, perkara tersebut sudahpun dibincangkan diperingkat lembaga pengarah agensi itu untuk tujuan menyediakan kemudahan kuarters kakitangan LKIM di masa depan dan akan membawanya kepada  pengetahuan kabinet dalam masa terdekat.

Ibupejabat Wisma LKIM yang dibina pada 2012 itu meliputi kawasan seluas 99 ekar di Pulau Meranti, Puchong.

“Lembaga Pengarah setuju bangunkan tanah LKIM untuk kebajikan kakitangan walaupun sumber kewangan tiada, tetapi hasrat itu akan dibawa ke pihak kerajaan. Kita melihat kepada peruntukan di peringkat kerajaan.

“Jika agensi lain boleh dapat kuarters mengapa tidak LKIM,” ujarnya pada sidang media selepas hadir dalam Program Amanat Tahun Baharu 2019 di  Auditorium Wisma LKIM hari ini.

Sebelum itu dalam ucapannya beliau menegaskan akan memastikan kebajikan kakitangan LKIM terus terbela antaranya hasrat LKIM untuk membina kuarters kakitangannya.

“Antaranya membangunkan tanah sekeliling. Saya akan bercakap dengan menteri (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani). Kita nak bina kuarters untuk kakitangan. Ini hasrat untuk jaga kebajikan kakitangan.

“Tapi itu bukan kuasa LKIM (bina kuarters) kerana LKIM tiada peruntukan tetapi kita ada tanah, apa salahnya kerajaan melihat kepada kakitangan yang mengharapkan simpati kerajaan untuk membela kebajikan mereka dengan kesudian kerajaan membina kuarters untuk kakitangan LKIM,” ujarnya ketika berucap di hadapan lebih kurang 100 kakitangan pengurusan LKIM pelbagai peringkat hari ini.

Sebelum itu beliau melancarkan moto baharu agensi itu ‘Cekap, Amanah, Peduli’ .

Turut hadir Ketua Pengarah LKIM Jamaluddin Othman;Pengerusi Nekmat Abdul Hamid Bahari, Timbalan KP Pembangunan LKIM Utong Bingkeri, Timbalan KP Pengurusan LKIM Raja Khalid Raja Ariffin; Pengurus Besar Nekmat Norizaman Razali dan; Pengarah-pengarah LKIM Negeri.