LKIM fokuskan usaha ke arah pemodenan sektor nelayan

LKIM fokuskan usaha ke arah pemodenan sektor nelayan

Lembaga Perikanan Kemajuan Malaysia (LKIM) mengakui agak sukar dalam menghadapi cabaran untuk menganjak pemikiran para nelayan ke arah pemodenan sektor berkenaan.

Pengerusinya, Faiz Fadzil berkata, dalam mendepani cabaran tersebut, sepanjang hampir setengah tahun mempengerusikan lembaga berkenaan, beliau tetap komited mengubah hala tuju dan mengembangkan pendapatan nelayan menerusi misi pemodenan sektor nelayan.

Katanya, tiga pencapaian terbaik yang dilaksanakannya adalah memperbanyakkan pasar nelayan, merangsang penjualan ikan melalui proses sejuk beku, dan melancarkan bazar peduli rakyat.

“Kami menyediakan lima kemudahan pasar nelayan bersaiz kecil yang boleh menampung antara 10 meja jualan yang dibina di kawasan jeti atau pusat pendaratan ikan yang dijual secara terus kepada pengguna.

“Manfaatnya, pengguna dapat ikan yang murah dan segar di samping nelayan memperoleh pendapatan yang tinggi tanpa melibatkan orang tengah. Apa yang menjadikan harga ikan mahal adalah rantaian bekalan makanan yang mahal dan keuntungannya diraih oleh orang tengah kerana perlu membayar kos pengangkutan dan kos borong.

“Kita juga memperbanyakkan produk ikan popular secara sejuk beku yang diusahakan sendiri oleh LKIM dengan kerjasama persatuan nelayan yang terlibat seperti Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Persatuan Nelayan Besut dan beberapa persatuan nelayan yang lain untuk merangsang jualan ikan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH berkata, LKIM turut melancarkan sinergi bersama Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), untuk membuat jualan murah pada rakyat supaya dapat merangsang ekonomi usahawan di bawah LKIM yang terlibat dengan kerja-kerja ‘downstream’.

Jelasnya, bazar peduli rakyat dilancarkan untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan dalam mencapai peningkatan pendapatan dan pengurangan harga barang.

“Bazar Peduli Rakyat (BPR) adalah program jualan murah yang melibatkan usahawan di bawah LKIM, LPP dan FAMA. BPR akan mengetengahkan produk tempatan dengan harga lebih rendah yang melibatkan petani dan peniaga yang membawa terus keperluan dari ladang,” ujarnya.

Mengulas tentang cabaran dalam memastikan penerimaan warga nelayan terhadap pemodenan yang dibawa, beliau berkata cabarannya adalah untuk mengubah hala tuju Persatuan Nelayan untuk melibatkan mereka sebagai pemain industri.

“Suasana sebenar yang saya saksikan sendiri ketika saya turun ke Kuantan seorang diri pada pukul 4 pagi, saya melihat orang Melayu yang turun menangkap ikan tetapi yang menjual ialah tauke-tauke Cina. Jadi, kalau persatuan nelayan menjadi pemain industri dan dia juga peniaga, banyaklah pendapatan yang akan masuk ke tabung persatuan nelayan sekali gus dapat membantu nelayan-nelayan yang lain.

“Saya sentiasa galakkan orang Melayu untuk berniaga dan menjadi usahawan yang menjual produk tempatan yang boleh diniagakan kerana sektor nelayan merupakan sektor istimewa di mana mereka mempunyai hasil yang boleh diprodukkan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkata nelayan muda lebih mudah dibentuk untuk dibawa pemikiran moden berbanding nelayan ‘lama’ yang masih terikat dengan cara tradisional.

“Untuk mengubah mentaliti nelayan supaya berani terjun ke sektor yang lebih luas, saya bertaruh pada nelayan muda sebab mereka masih ada tenaga dan ‘fresh mind’ untuk terjun ke sisi luar dan mengubah minda mereka.

“Tiada masalah dengan nelayan dari golongan tua cuma kalau kita bercakap tentang anjakan pemikiran, lebih mudah kita berharap pada orang muda kerana semangatnya yang tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, usaha lain yang sedang dalam perancangan adalah untuk memperbanyakkan bilik sejuk (cold room) untuk menyimpan bekalan makanan ikan sebagai persiapan musim tengkujuh, disamping usaha untuk memperkasakan Persatuan Nelayan itu sendiri.