LKIM galak belia pelbagai industri perikanan

LKIM galak belia pelbagai industri perikanan

Faiz Melepaskan anak ikan siakap bagi projek ternakan sangkar yang dijalankan belia nelayan Sepang. Foto credit : Fb Faiz Fadzil

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan dana berjumlah RM20,000 kepada Kumpulan Belia Nelayan (KUBENA) Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sepang sebagai galakkan kepada golongan belia menceburi industri perikanan dan memodenkan industri akuakultur.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sumbangan tersebut sebagai rangsangan kemampuan dan keberanian belia nelayan yang mahu menceburi industri akuakultur untuk meningkatkan sumber pendapatan.

Jelasnya, ia juga sebagai galakan supaya golongan belia nelayan menceburi industri perikanan sama ada melalui pemodenan vessel dan kepelbagaian industri perikanan seperti akuakultur dan agro-tourism.

“Nelayan adalah sektor pekerjaan paling istimewa kerana kepelbagaian industri yang boleh menambah pendapatan bagi menjadikan nelayan satu industri moden yang boleh diwarisi kepada generasi muda.

“Saya cukup mengkagumi usaha dan komitmen belia nelayan Sepang yang turut bekerjasama dengan kelab Sirip Biru yang mengusahakan agro-tourism termasuk sport fishing, river cruise dan rumah rakit bagi pemancing di sepanjang Sungai Sepang Besar. Anak muda yang berani menjadi usahawan harus dibantu,” katanya.

Sementara itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda AMANAH berkata, pertemuan bersama para nelayan Sepang baru-baru ini mendapati, kebimbangan mereka adalah mengenai isu pencemaran Sungai Sepang Besar yang menyebabkan pencemaran air kapur dan najis khinzir.

“Pencemaran yang berpunca dari penternakan di Negeri Sembilan itu telah mengancam pembiakan sumber laut seperti udang dan ikan. LKIM yang akan usahakan inisiatif untuk menyelesaikan masalah ini.

“Muara yang cetek di kawasan tersebut akibat pembangunan projek Jimah Power juga akan dilihat secara serius kerana ia mengancam masa depan industri perikanan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan projek akuakultur sangkar ikan siakap dalam lawatan kerjanya ke Sungai Sepang Besar dan Majlis Ramah Mesra Bersama Kubena PNK di Sepang, Bagan Lalang, baru-baru ini.

Menurutnya, antara program lain yang diadakan dalam lawatan kerjanya, termasuk melawat projek baik pulih rumah nelayan yang telah dibina secara gotong-royong oleh komuniti nelayan dengan peruntukan RM13,000.

“Menariknya, rumah yang dipilih di bawah skim ini adalah milik orang asal En Amit. Sebuah kerusi roda untuk kegunaan anak OKU seorang nelayan turut disumbangkan PNK Sepang.

“Tanpa industri perikanan dimajukan, food security bagi makanan sumber laut akan berkurangan yang boleh mengancam pertumbuhan ekonomi negara dan kemakmuran hidup rakyat Malaysia,” ujarnya