LKIM harap ada kuota khas untuk anak nelayan yang cemerlang

LKIM harap ada kuota khas untuk anak nelayan yang cemerlang

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap Kementerian Pendidikan dapat memberikan kouta khas kepada anak nelayan yang mendapat keputusan cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam di negara ini, terutama yang menyediakan Program Pengajian Sains Laut.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil dalam satu kenyataan berkata, langkah ini penting, kerana pendidikan mampu mengubah sosio-ekonomi nelayan pada masa hadapan, sekali gus mengurangkan kesenjangan ekonomi antara nelayan dan rakyat yang lain.

Katanya, dalam usaha memodenkan nelayan dan industri perikanan, pendidikan dan kemahiran teknologi canggih adalah elemen penting yang perlu diberikan penekanan.

“Selain itu, LKIM juga berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan sebuah universiti khusus kepada bidang perikanan, seperti National Fisheries University di Jepun dan Shanghai Ocean University di China.

“Walaupun kursus berkaitan perikanan ditawarkan di beberapa universiti awam di negara kita, namun kewujudan universiti ini mampu memberikan lebih banyak peluang kepada anak-anak nelayan melanjutkan pengajian dalam bidang warisan mereka.

“Kewujudan universiti ini juga mampu mewujudkan lebih banyak penyelidikan mengenai perikanan, selain mendedahkan lebih banyak ilmu mengenai teknologi perikanan seiring dengan Revolusi Industri 4.0 untuk diaplikasikan dalam memodenkan industri perikanan,” katanya.

Faiz bagi pihak LKIM turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada anak-anak nelayan yang berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2018.