Malaysia Dateline

LKIM harap nelayan sambut peluang dilindungi Perkeso

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap golongan nelayan akan menyambut peluang untuk melindungi diri dan keluarga sekiranya kerajaan bersetuju memperluaskan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri meliputi golongan itu.

Pengerusinya Muhammad Faiz Fadzil berkata cadangan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu masih di peringkat perbincangan dan dijangka dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Dalam masa sama, peranan Perkeso dalam melindungi warga kerja di negara ini dapat diperluaskan dan menfaat dapat dirasakan seluruh rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan Tumpat, di sini, hari ini.

Seramai 200 nelayan di daerah Tumpat menerima sumbangan berbentuk bahan makanan asas termasuk beras, minyak dan gula yang merupakan sebahagian daripada khidmat sosial LKIM dalam membantu meringankan kos sara hidup nelayan semasa musim tengkujuh.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan Belanjawan 2020 mengumumkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri oleh PERKESO akan diperluaskan bagi membolehkan caruman kepada 18 kumpulan bekerja sendiri seperti nelayan, petani, pemilik tunggal dan perkongsian.

Pada majlis sama, Muhammad Faiz menyerahkan replika cek RM153,000 kepada Maznah Yacob, 40, balu Allahyarham Lazim Yusof, nelayan yang maut setelah bot yang dinaiki terbalik semasa dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan pada 27 Mac tahun lalu.

Muhammad Faiz berkata, buat masa ini, 70 peratus nelayan yang mendapat bantuan elaun sara hidup daripada LKIM mengambil perlindungan insurans manakala 30 peratus lagi yang tiada bantuan sara hidup tidak dilindungi insurans.

“Setiap nelayan yang menerima elaun sara hidup dipotong RM100 setahun untuk membayar skim insurans yang diambil. Antara lain caruman itu membolehkan mereka dan keluarga mendapat bantuan sekiranya berlaku kematian, kemalangan di laut, kecederaan serta bot dan peralatan menangkap ikan rosak.

“Caruman Perkeso yang sedang dalam rundingan itu amat perlu kerana golongan ini tiada pelindungan hari tua dan sekiranya berlaku kemalangan maut atau kemalangan yang membawa kepada kecacatan kekal, mereka tidak akan mendapat sebarang pampasan dan sekali gus meletakkan keluarga dalam kesempitan hidup,” katanya.

— BERNAMA