Malaysia Dateline

LKIM jaga kebajikan nelayan terjejas akibat tempias taufan

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) tetap melaksanakan tanggungjawab menjaga kebajikan nelayan dengan memberikan sumbangan tambahan di bawah skim bantuan bencana alam dan kebajikan nelayan, kata Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil.

Beliau berkata, sebanyak RM211,000 diagihkan untuk membaik pulih rumah nelayan di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang yang terjejas akibat tempias Taufan Lekima pada 9 Ogos lalu.

Menurutnya, penerima bantuan tersebut terdiri daripada 188 ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang telah membuat permohonan di bawah Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan (SBBAK).

“Memang kita luluskan dan diperuntukkan kepada PNK negeri-negeri untuk diagihkan kepada mangsa yang terjejas sejak bulan lalu.

“Mereka ini kita kenal pasti melalui PNK masing-masing dan pengagihan dijangka selesai tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita pada Program Lawatan dan Penyampaian Bantuan Mangsa Taufan Lekima di Sungai Petani, hari ini.

Turut serta Ketua Pengarah LKIM, Jamaluddin Othman; Timbalan Ketua Pengarah, Raja Kahalid Raja Ariffin; Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari dan Pengarah LKIM Kedah, Hamdan Mamat.

Mengulas lanjut, Faiz memberitahu sebanyak RM50,000 diagih untuk 19 buah rumah di Perlis, RM87,000 untuk 79 rumah di Kedah dan RM74,000 untuk 90 rumah di Pulau Pinang.

Jelasnya menerusi skim itu, sebuah rumah menerima bantuan antara RM1,000 hingga RM10,000 bergantung pada kerosakan rumah.

“Bagi mereka yang sudah membaiki sendiri rumah, LKIM turut membantu menampung kos tersebut bagi meringankan beban mereka yang ditimpa musibah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata bagi rumah yang mengalami kerosakan serius, LKIM turut menyediakan tempat tinggal sementara kepada mangsa sehingga kerja baik pulih rumah mereka selesai.

“Dalam lawatan di Tanjung Dawai hari ini, kita dapati sebuah rumah rosak teruk dan memerlukan kos yang tinggi, kita cadangkan mangsa dan keluarganya berpindah sementara di kuaters LKIM sementara proses baik pulih dilakukan yang mengambil sedikit masa,” tambahnya lagi.

Salah sebuah keluarga nelayan yang menerima agihan bantuan baik pulih rumah.