Malaysia Dateline

LKIM lancar lima hala tuju, sasar tingkat produktiviti perikanan dan keupayaan nelayan

 

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melancarkan lima hala tuju 2019-2020 sebagai sasaran untuk meningkatkan produktiviti perikanan di negara ini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata sasaran itu antara lain turut menumpukan kepada para nelayan agar mereka menjadi golongan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Hala tuju pertama adalah mentransformasikan Kompleks Pendaratan Ikan LKIM dan memperkukuhkan industri asas perikanan ke arah mewujudkan Zon Industri Asas Tani (IAT) Bersepadu.

“Kedua, memperkukuhkan rantaian pemasaran ikan dalam usaha menjamin kestabilan bekalan dan harga, manakala hala tuju ketiga ialah memperkasakan persatuan nelayan berteraskan pembangunan kluster ekonomi.

“Selain itu, kami juga berhasrat meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan nelayan dengan penekanan kepada Program Sosio Ekonomi. Hala tuju kelima pula adalah, menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan, modal insan dan tadbir urus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan LKIM 2018-2019 dan Pelancaran Hala Tuju LKIM 2019-2020 di sebuah hotel di Kuala Lumpur, malam tadi.

Turut hadir dalam majlis itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan, Ketua Pengarah LKIM, Jamaludin Othman dan Timbalan Ketua Pengarah LKIM (Pembangunan), Untong Keri.

(kiri) Muhammad Faiz Fadzil bersama Datuk Mohd Sallehhuddin Hassan (tengah) dan Jamaludin Othman dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan dan Pelancaran Hala Tuju LKIM 2019-2020

Terdahulu, seramai 290 kakitangan LKIM dari seluruh negara menerima anugerah perkhidmatan yang disampaikan oleh Sallehhuddin sendiri.

Menurut Faiz, anugerah tersebut merupakan penghargaan daripada pihak LKIM sebagai menghargai jasa pegawai dan kakitangan LKIM yang telah lama berkhidmat dan mencurahkan bakti.

“Kita bagi anugerah kepada mereka yang telah berkhidmat sepanjang tempoh 15 hingga 40 tahun. Mereka (pegawai dan kakitangan) menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan setiap dasar yang telah ditetapkan oleh LKIM dan MOA.

“Jadi, sebagai tanda penghargaan kami di peringkat pengurusan dan pentadbiran, kita berikan anugerah tersebut kepada semua pegawai yang tidak pernah berkira masa dan tenaga mereka untuk menjayakan segala visi yang telah ditetapkan.

“Bagi saya, ini adalah satu pencapaian yang cukup baik di LKIM kerana mempunyai warga kerja yang begitu komited dengan tanggungjawab yang diberikan,” ujar Faiz yang juga merupakan Timbalan Pemuda AMANAH Nasional.

Sebanyak lima anugerah diberikan iaitu Anugerah Perdana untuk kakitangan yang berkhidmat selama 40 tahun, Platinum (35 tahun), Emas (30 tahun), Perak (25 tahun), Gangsa (20 tahun) dan Bakti (15 tahun).

Antara kakitangan LKIM yang menerima Anugerah Perkhidmatan 2018-2019