LKIM mahu elaun sara hidup, subsidi petrol nelayan dikekalkan dalam Belanjawan 2019

LKIM mahu elaun sara hidup, subsidi petrol nelayan dikekalkan dalam Belanjawan 2019

Kerajaan diharapkan dapat mengekalkan peruntukan elaun sara hidup (ESH) dan subsidi petrol kepada nelayan dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen esok.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil berkata, Belanjawan 2019 yang bakal dibentangkan juga diharap dapat memberi tumpuan kepada inrastruktur dan jentera bagi Pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Untuk mengambil kira ekonomi negara hari ini dengan hutang yang ditinggalkan kerajaan BN, alaun sara hidup RM300 ini mencukupi untuk dapat dikekalkan adalah wajar untuk nelayan.

“Kita akan minta lebih jika tiba waktunya tetapi kita ambil kira kekangan kewangan kerajaan hari ini, jika dalam bajet kali ini kerajaan dapat kekalkan elaun sara hidup ia satu sumbangan yang besar daripada kerajaan untuk nelayan.

“Saya juga berharap APMM mengawal perairan yang ditugaskan mengawal persisir pantai negara daripada nelayan asing. APMM perlu diberikan bajet lebih untuk meningkatkan peralatan kawalan keselamatan supaya kawalan dapat dilakukan lebih ketat bagi menangani isu-isu nelayan asing,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Datuk Muhammad Sallahhuddin Hassan (ditengah) melancarkan Kelab Permotoran LKIM yang akan jelajah sempena MAHA 2018.

Beliau ditemui selepas hadir dalam Program Fit LKIM Sempena Ulang Tahun ke 47 LKIM,yang diadakan di Wisma LKIM di Pulau Meranti, Puchong,Selangor, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Datuk Muhammad Sallahhuddin Hassan.

Program sehari yang berlangsung di Perkarangan Dewan Besar LKIM itu dimeriahkan dengan konvoi motorsikal LKIM-MAHA Bikers 2018. Seramai 47 penunggang dari Kelab Permotoran LKIM yang akan menuju ke Hentian Tapah untuk mengadakan promosi MAHA 2018 yang akan berlansung pada 22 November sehingga 2 Disember depan di MAEPS Serdang.

ESH diberikan kepada 57,000 nelayan sejak 2008 yang berjumlah antara RM200 dan RM300 bertujuan untuk meringankan bebanan kos sara hidup nelayan.

Dalam Bajet 2018 lalu LKIM sahaja memperoleh peruntukan sebanyak RM50juta. LKIM adalah salah satu agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan memperuntukkan keseluruhan sebanyak RM6.5 bilion untuk manfaat kepada mereka yang terlibat dalam sektor pertanian meliputi pesawah, petani, pekebun kecil, nelayan dan penternak.

Peserta konvoi dilepaskan untuk menuju ke Hentian Tapah untuk tujuan promosi MAHA 2018.