Malaysia Dateline

LKIM sedia 25 tan ikan tampung kekurangan pada musim tengkujuh

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan sejumlah 25 tan ikan sejuk beku segar di seluruh negara sebagai persediaan kekurangan bekalan itu sepanjang musim tengkujuh.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata bekalan berkenaan disimpan secara sejuk beku termasuk di Tok Bali di sini, selain Terengganu dan Pahang.

“Ia akan diedarkan ke pasar-pasar bagi menampung kekurangan bekalan tersebut sepanjang musim tengkujuh berikutan nelayan tidak dapat turun ke laut pada musim berkenaan.

“Kaedah ini juga diharap dapat mengekang kenaikan harga ikan di pasaran pada musim tersebut,” katanya selepas mengadakan kunjungan ke Pelabuhan LKIM Tok Bali, hari ini.

Beliau berkata simpanan itu dijamin mencukupi bagi keperluan selama empat bulan sepanjang musim tengkujuh dan akan ditambah dari semasa ke semasa jika tidak mencukupi.

Katanya bekalan tersebut terutama ikan kembung akan dijual dengan harga berpatutan dan tidak akan membebankan pengguna di samping kualitinya dijamin kerajaan.

“Ikan-ikan itu yang diuruskan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) akan dijual dengan harga RM10 sebungkus,” katanya.

— BERNAMA